SIMFONI DAKWAH: SEBARKAN SALAM MENYATUKAN KOMUNITI TEMPATAN

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

PERMATANG PAUH, 5 Julai (IKIM) – Semangat perpaduan jelas terpancar menerusi penganjuran Program Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam apabila komuniti setempat tanpa mengira usia menyertai gabungan aktiviti dakwah, sukan, kebajikan serta khidmat komuniti.

Program yang dijalankan dari 4 hingga 5 Julai di pelbagai lokasi di Permatang Pauh itu tampil dengan pelbagai hiburan yang menarik minat penduduk setempat seiring dengan nilai-nilai diterapkan dalam penyatuan ummah ada era ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menekankan bahawa penyatuan ini bukan hanya berhibur tetapi mengutamakan program-program penglibatan komuniti.

“Kita bermula dengan pertandingan mewarna, kemudian tahlil solat, pertandingan bola sepak, solat berjemaah, Dakwah Piala Dunia dan Qiamullail disambut dengan Semarak Subuh,”

“Ia juga disambung dengan fun run sejauh 5 kilometer dan diakhiri dengan satu himpunan Multaqa MADANI Ulama Umara,” katanya ketika sidang media selepas Program Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam malam tadi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kemuncak program dakwah bakal diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini.

“Sebenarnya, cita-cita kita untuk keseluruhan negeri tetapi mengikut kesesuaian dan juga kesempatan masa,” katanya.

Setakat ini, program dakwah telah menjelajah di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Johor, dan Pulau Pinang.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Abd Aziz Tajuddin; Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee

WhatsApp
Scroll to Top