PROF. EMERITUS DATO’ DR. MOHD YUSOF OTHMAN DILANTIK PENGERUSI BAHARU IKIM

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

PUTRAJAYA, 3 Julai (IKIM) – Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman dilantik sebagai Pengerusi baharu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) manakala Dato’ Prof. Dr. Ashraf Md Hashim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi berkuat kuasa 18 Jun 2026.

Majlis penyampaian surat pelantikan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di pejabat beliau di Putrajaya.

Menurut Senator Dr. Zulkifli Hasan pelantikan ini selari dengan usaha memperkukuh peranan IKIM di peringkat nasional dan global.

“Antara perkara yang kita tekankan ialah mengarusperdanakan kefahaman Islam yang sebenar bukan sahaja di negara kita, tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan memperluas sasaran dakwah dan pendekatan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

“Kita juga membincangkan segmen masyarakat yang perlu disantuni seperti golongan anak muda, wanita dan kumpulan lain supaya kefahaman Islam yang sebenar dapat diarusperdanakan. Pada masa sama, kita perlu memperkukuh libat urus dengan masyarakat bukan Islam agar dapat bersama-sama membina masyarakat MADANI yang inklusif, rahmah serta mempromosikan kebaikan,” katanya lagi.

Sementara itu Mohd Yusof berkata beliau akan meneruskan asas yang telah dibina dengan memperkukuh peranan IKIM sebagai institusi pemikir negara.

“Visi saya ialah meneruskan asas yang telah dibina, namun dengan memperkukuh peranan IKIM di peringkat antarabangsa, memperbesar peranan media dan TV IKIM serta memperkasakan penyelidikan yang memberi penyelesaian kepada isu-isu masyarakat. Kita teruskan usaha itu dengan meningkatkan komitmen warga IKIM dan menampilkan institusi ini dengan lebih meluas di tengah-tengah masyarakat,” katanya.

Beliau turut menekankan pendekatan kefahaman Islam berteraskan peradaban dan pembangunan negara.

“Apa yang saya nak bawa ialah IKIM untuk memberi kefahaman Islam yang bersifat hadari, madani dan berteraskan peradaban. Tugas IKIM ialah membawa pemikiran berkualiti kepada masyarakat supaya mereka dapat bersama-sama membina negara,” jelasnya.

Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan ketokohan, kewibawaan serta sumbangan besar kedua-dua tokoh dalam bidang akademik, penyelidikan, serta pembangunan pemikiran Islam, khususnya dalam sains, teknologi dan syariah.

Sementara itu dalam majlis yang sama  pelantikan tiga ahli Lembaga Pengarah IKIM baharu iaitu Datuk Haji Misnu Haji Taha (pelantikan semula), Haji Sakaria Samela dan Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir.

IKIM dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan tersebut serta yakin barisan kepimpinan baharu ini mampu memperkukuh peranan institusi sebagai pusat pemikiran Islam yang dinamik, inklusif dan relevan dengan perkembangan semasa negara serta dunia

Majlis penyampaian surat pelantikan tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato” Dr. Mohd Azam Mohd Adil.

WhatsApp
Scroll to Top