PPZ-MAIWP LANCAR KEMPEN JOM POTONG 2026, GALAK PEMBAYARAN ZAKAT SECARA KONSISTEN

KUALA LUMPUR, 1 Julai (IKIM) – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Jom Potong 2026 bagi memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menunaikan zakat secara mudah, konsisten dan terancang menerusi Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Memasuki tahun kelima penganjurannya, kempen yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2026 itu tampil dengan pendekatan lebih segar melalui kerjasama strategik bersama jenama makanan tempatan, Ayam Gepuk Top Global (AGTG) yang membawa tema “Level Up Your Spiciness, Level Up Your Zakat”.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, Kempen Jom Potong merupakan antara inisiatif berterusan bagi membudayakan pembayaran zakat secara konsisten, khususnya dalam kalangan warga kerja di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, Skim Potongan Zakat Bulanan memudahkan umat Islam melaksanakan kewajipan zakat secara lebih sistematik kerana pembayaran dibuat secara berkala tanpa perlu menunggu sehingga penghujung tahun.

“Pembayaran zakat secara bulanan bukan sahaja memudahkan pembayar menguruskan kewangan dengan lebih terancang, malah memastikan kewajipan zakat dapat dilaksanakan secara konsisten dan berterusan. Apabila lebih ramai masyarakat memilih untuk menunaikan zakat secara istiqamah melalui Skim PZB, manfaat yang dapat disalurkan kepada golongan asnaf juga akan menjadi lebih pantas dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Potong 2026 di Ayam Gepuk Top Global KLTS, Setapak, hari ini.

Menurut beliau, pemilihan Ayam Gepuk Top Global sebagai rakan strategik dibuat berdasarkan keserasian profil pelanggan yang majoritinya terdiri daripada golongan bekerja, selain reputasi syarikat itu sebagai jenama tempatan milik usahawan Muslim yang turut menunaikan zakat melalui PPZ-MAIWP.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Top Global Food and Beverages Sdn. Bhd., Muhammad Annas Athoillah Mohd. Fauzi berkata, kerjasama tersebut membuktikan institusi agama dan sektor korporat mampu berganding bahu dalam memperkukuh budaya berzakat melalui pendekatan yang lebih kreatif, relevan dan dekat dengan masyarakat.

Beliau berharap rangkaian cawangan Ayam Gepuk Top Global di seluruh negara dapat membantu memperluaskan mesej kepentingan pembayaran zakat secara konsisten melalui Skim Potongan Zakat Bulanan.

Menerusi Kempen Jom Potong 2026, seramai 5,000 pembayar zakat yang memulakan atau menambah potongan zakat bulanan sepanjang tempoh kempen berpeluang menerima baucar makanan Ayam Gepuk Top Global bernilai RM6, tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah, termasuk pakej umrah, pakej percutian dalam negara, EV skuter, emas 1 dinar, komputer riba permainan Asus, Nintendo Switch dan jam tangan pintar.

Kempen itu menyasarkan penyertaan lebih ramai pekerja sektor awam dan swasta bagi membudayakan amalan pembayaran zakat secara berterusan, sekali gus memastikan agihan zakat kepada golongan asnaf dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

WhatsApp
Scroll to Top