KUALA LUMPUR, 28 Jun (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua penerbit buku agama memperketat proses semakan kandungan dengan mendapatkan penelitian daripada pihak berautoriti bagi memastikan kesahihan fakta serta memelihara kesucian ajaran Islam.
Ketua Pengarah JAKIM, Dato” Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, gesaan itu dibuat susulan kontroversi melibatkan sebuah buku agama hasil tulisan seorang pempengaruh yang didakwa mengandungi kesilapan berkaitan petikan al-Quran.
Beliau berkata JAKIM menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menegaskan bahawa semua penerbitan berkaitan agama perlu melalui semakan pihak berautoriti sebelum diterbitkan.
Menurut beliau, setiap penulis perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang dihasilkan, manakala penerbit pula wajar melantik pasukan pakar serta kakitangan yang mempunyai kelayakan dalam bidang pengajian Islam untuk meneliti semua kandungan agama sebelum diterbitkan kepada umum.
Pada masa sama, JAKIM mengesyorkan agar Majlis Buku Kebangsaan Malaysia sentiasa mengingatkan semua penerbit supaya lebih teliti dan berhati-hati dalam menerbitkan bahan yang melibatkan teks al-Quran dan hadis bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa JAKIM bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri sentiasa bersedia memberikan panduan dan bimbingan kepada semua penerbit buku agama bagi memastikan setiap penerbitan menepati disiplin ilmu serta kefahaman Islam yang sahih.




