ANWAR SERU ASEAN DAN RUSIA PERKUKUH KERJASAMA EKONOMI HADAPI KETIDAKTENTUAN GLOBAL

KAZAN, 17 Jun (IKIM) – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru negara-negara ASEAN dan Rusia memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan bagi menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Beliau berkata, dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik, gangguan teknologi, penyusunan semula rantaian bekalan dan ketidakpastian dalam perdagangan antarabangsa yang menuntut negara-negara memperkukuh hubungan serta membina kepercayaan antara satu sama lain.

Menurut beliau, tiada negara mampu menghadapi cabaran tersebut secara bersendirian, justeru kerjasama praktikal dan hubungan yang lebih erat perlu terus diperkukuhkan demi menjamin kestabilan, daya tahan dan kemakmuran bersama.

Berucap pada Forum Perniagaan Rusia-ASEAN di Kazan, Rusia hari ini, Anwar berkata ASEAN telah membuktikan ketahanannya sebagai antara rantau ekonomi paling dinamik di dunia dengan pertumbuhan kelas pertengahan, ekonomi digital yang berkembang pesat dan populasi muda yang menjadi pemacu inovasi serta pembangunan ekonomi.

Beliau berkata, meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu, ASEAN terus menarik pelaburan, memperkukuh integrasi serantau dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global.

Pada masa sama, ASEAN kekal komited kepada prinsip keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama yang membolehkan rantau ini mengekalkan autonomi strategik serta memperkukuh peranan ASEAN sebagai kuasa penstabil dalam hal ehwal serantau.

Menyentuh hubungan ASEAN-Rusia, Perdana Menteri berkata potensi untuk memperluaskan kerjasama ekonomi masih besar, khususnya dalam bidang keselamatan makanan, tenaga, pembuatan berteknologi tinggi, teknologi digital dan pendidikan.

Beliau turut mengalu-alukan pemuktamadan Program Strategik ASEAN-Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026-2035 yang dijangka diterima pakai pada tahun ini. Menurutnya, program tersebut akan menjadi peta hala tuju baharu yang memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, teknologi baharu dan daya tahan iklim.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk menjayakan agenda kerjasama ekonomi. Sebaliknya, peranan sektor swasta, pelabur, usahawan, penyelidik dan inovator amat penting dalam menterjemahkan aspirasi kepada hasil yang nyata.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan forum seperti Forum Perniagaan Rusia-ASEAN sebagai platform penting untuk membina jaringan, perkongsian strategik dan idea baharu yang mampu menghasilkan manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua rantau.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen ASEAN terhadap sistem perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan serta menolak pendekatan konfrontasi dan pengasingan dalam hubungan ekonomi global. Sebaliknya, beliau menekankan bahawa kemajuan ekonomi lebih berkesan dicapai melalui kerjasama dan penglibatan yang konstruktif.

Beliau berkata, selepas 35 tahun hubungan ekonomi ASEAN-Rusia, kedua-dua pihak kini perlu memastikan kerjasama tersebut terus relevan dengan perubahan dunia melalui peningkatan hubungan ekonomi, transformasi teknologi dan peluang baharu yang muncul daripada perubahan ekonomi global.

“Marilah kita menukar semangat muhibah kepada perkongsian, perkongsian kepada projek, dan projek kepada manfaat nyata untuk rakyat,” katanya.

Kredit foto: FB Anwar Ibrahim

WhatsApp
Scroll to Top