PUTRAJAYA, 16 Jun (IKIM) – Golongan muda di negara ini diseru menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai inspirasi untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik dengan berteraskan adab, akhlak dan ilmu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, anak muda Malaysia mempunyai potensi, bakat dan kewibawaan yang besar untuk memacu pembangunan negara, justeru mereka perlu menghayati nilai-nilai hijrah yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Islam yang cemerlang.

Beliau berkata, hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar perpindahan fizikal dari Makkah ke Madinah, sebaliknya merupakan titik perubahan besar yang membawa transformasi menyeluruh kepada umat Islam.
“Hijrah Rasulullah SAW merupakan satu titik perubahan yang bermula dengan akhlak, adab dan keilmuan. Itulah yang kita mahu terapkan kepada anak-anak muda hari ini.

“Kepada semua anak muda di Malaysia, marilah kita sama-sama mengingati dan menghayati hijrah Rasulullah SAW serta menjadikannya panduan dalam membentuk diri dan masyarakat yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Tausiyyah @ Ma’al Hijrah dan Majlis Bacaan Doa Ma’al Hijrah di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini.
Turut hadir majlis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Haji Zamri Zainal Abidin dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil.

Mengulas sambutan Maal Hijrah 1448H, Zulkifli berkata kerajaan tahun ini mengambil pendekatan berbeza dengan mengadakan program di masjid bagi menghidupkan kembali penghayatan terhadap sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan peranan institusi masjid dalam pembinaan tamadun Islam.
Menurut beliau, pemilihan Masjid Putra sebagai lokasi sambutan bertujuan mengingatkan umat Islam bahawa masjid merupakan institusi pertama yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW selepas baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah.

“Sempena mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, tahun ini kita memilih Masjid Putra sebagai destinasi untuk memulakan gelombang mengingati sejarah perjuangan baginda.
“Apabila baginda berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang dibina ialah masjid. Dari situlah bermulanya pembentukan masyarakat, ketamadunan dan perkembangan ilmu,” katanya.
Program sambutan yang berlangsung hari ini dimulakan dengan sesi tausiyah oleh para asatizah, diikuti bacaan doa akhir dan awal tahun, solat hajat, bacaan Yasin serta munajat memohon kesejahteraan, keberkatan dan kemakmuran negara.

Zulkifli turut memaklumkan bahawa program kemuncak Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Kebangsaan akan berlangsung esok dan akan menyaksikan pengumuman serta penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa.
Beliau berkata kedua-dua tokoh berkenaan juga akan menyampaikan syarahan perdana pada 18 Jun ini di Auditorium JAKIM yang dijangka menghimpunkan hampir 1,000 peserta.

Katanya, syarahan tersebut akan menjadi platform penting untuk menyebarkan mesej perpaduan, ilmu dan penghayatan semangat hijrah kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Jurugambar: Fatkhulmungin Mohd Yusof




