AYER KEROH, 12 Jun (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM3.16 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, hari ini.
Penyerahan zakat berjumlah RM3,155,678.55 itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Menurut Mustakim, pembayaran zakat tersebut merupakan amanah yang dipikul TH bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di negeri itu.
Katanya, dana zakat yang disalurkan diharap dapat dimanfaatkan menerusi pelbagai program kebajikan, pendidikan dan kesihatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama negeri bagi membantu lebih ramai penerima yang layak.
Selain pembayaran zakat tahunan, TH turut memperuntukkan sebanyak RM1.065 juta bagi pelaksanaan pelbagai program Zakat Wakalah di Melaka sepanjang tahun 2025.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Iqra’ TH IPTA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Program Afiat yang menyediakan 50 katil mekanikal di beberapa hospital, Program Iqra’ Sekolah Angkat MADANI, Program Ehsan Raya serta inisiatif TH Cares.

Keseluruhan program berkenaan telah memberi manfaat kepada seramai 2,770 asnaf di Melaka.
Mustakim berkata, pengagihan zakat wakalah yang dilaksanakan secara terancang adalah selaras dengan prinsip Maqasid Syariah bagi memastikan dana zakat dimanfaatkan secara strategik, mampan dan disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut memaklumkan bahawa melalui Program Zakat Wakalah TH, bantuan telah disalurkan kepada lebih 726,000 asnaf di seluruh negara sepanjang tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat melebihi 2.9 juta orang dalam tempoh sedekad.
Sehingga 31 Mei lalu, TH merekodkan seramai 397,624 pendeposit di Melaka dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM3.12 bilion.
TH menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islam yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memperkukuh kesejahteraan ummah melalui pengagihan zakat yang berkesan serta pelaksanaan program pembangunan masyarakat yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat.




