PEMIMPIN AGAMA DAN BELIA PERLU BERPERANAN PERKUKUH KEHARMONIAN SOSIAL GLOBAL – DR ZULKIFLI

KUALA LUMPUR, 12 Jun (IKIM) – Pemimpin agama dan golongan belia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh keharmonian sosial, mempromosikan budaya hidup bersama secara aman serta menangani cabaran global seperti Islamofobia, politik identiti dan polarisasi masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang wujud dalam masyarakat bukanlah punca perpecahan, sebaliknya merupakan ketetapan Allah SWT yang perlu diraikan melalui sikap saling memahami, hormat-menghormati dan toleransi.

Menurut beliau, tema Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ketiga 2026, “Religious Leaders and Youth: Advancing Coexistence and Social Harmony”, amat signifikan dalam usaha membina keamanan dan kestabilan masyarakat sejagat.

“Al-Quran menerusi Surah Al-Hujurat ayat 13 menegaskan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenali antara satu sama lain. Kepelbagaian ini merupakan sebahagian daripada aturan Ilahi yang perlu diperkukuhkan dengan nilai ketakwaan, persefahaman dan toleransi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Ketiga 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini.

Dr. Zulkifli berkata, pemimpin agama bukan sahaja bertanggungjawab memberikan bimbingan kerohanian, malah perlu menjadi agen keamanan yang menegakkan keadilan serta membantu menyelesaikan konflik dalam masyarakat.

Katanya, Surah An-Nisa ayat 58 turut menekankan kewajipan menunaikan amanah dan berlaku adil dalam setiap keputusan yang dibuat, sekali gus menjadi panduan penting kepada para pemimpin agama dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau turut menjelaskan bahawa kestabilan sosial yang dinikmati Malaysia hari ini adalah hasil daripada semangat saling menghormati yang dipupuk dalam masyarakat majmuk melalui pendekatan kesederhanaan.

Menurutnya, Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 merekodkan skor tertinggi sebanyak 8.69 bagi komponen agama dan spiritualiti, membuktikan bahawa agama yang difahami dan diamalkan dengan betul mampu menjadi penyelesaian kepada ketegangan sosial, bukannya punca konflik.

Dalam pada itu, beliau yakin hasil perbincangan sidang kemuncak tersebut akan memperkukuh hubungan antara pemimpin agama pelbagai kepercayaan, meningkatkan persefahaman antara agama serta mengukuhkan perpaduan sosial dalam mendepani cabaran global semasa.

Dr. Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung Muslim World League, Sheikh Dr. Muhammad bin Abdul Kareem Al-Issa, atas komitmen dan sokongan berterusan dalam menjayakan persidangan berkenaan.

Beliau berharap usaha kolektif semua pihak menerusi platform itu akan terus menyumbang kepada keamanan berkekalan, keharmonian global serta memperkukuh agenda dunia dalam menangani ekstremisme dan menyelesaikan konflik secara berhemah dan berkesan.

Pada sidang kemuncak ini juga Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menjadi moderator bagi sesi pertama bertajuk “Promoting Coexistence, Mutual Respect and Social Harmony” bersama panel Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Pengerusi International Shinto Studies Association, Yoshinobu Miyake; Presiden Australian National Imams Council, Sheikh Shady Kamel Al-Suleiman Dan Presiden International Sadhguru Foundation, Sadguru Brahmeshanandacharya Swamiji–India

WhatsApp
Scroll to Top