Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 13 Jun (IKIM) – Penganjuran 4th Southeast Asia Scholars Council 2026 mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai pusat wacana ilmiah Islam serantau dengan kerjasama Liga Dunia Islam (Muslim World League) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Persidangan itu turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Datuk Seri Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa bersama para mufti, sarjana, ahli akademik dan cendekiawan Islam dari negara-negara ASEAN.
Seramai kira-kira 600 peserta terdiri daripada ahli akademik, mufti, penyelidik dan tokoh ilmuwan Islam menghadiri persidangan tersebut yang menampilkan perbincangan berteraskan isu kontemporari umat Islam.

Penganjuran kali keempat itu turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh rangkaian kerjasama institusi keagamaan dan memperluaskan gagasan Fiqh Ta’ayush dalam masyarakat majmuk serantau.
Majlis perasmian persidangan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan kepentingan platform berkenaan dalam memperkukuh jaringan ilmuwan Islam.
Ahmad Zahid berkata, penganjuran persidangan itu telah berkembang menjadi wadah penting yang menghubungkan pemikiran sarjana Islam dari seluruh dunia.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Liga Dunia Islam (MWL) dan JAKIM atas komitmen berterusan mereka dalam menganjurkan persidangan ini buat kali keempat. Ia telah berkembang menjadi platform penting yang menghubungkan pemikiran dan perspektif para sarjana,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kesepakatan dalam kalangan sarjana Islam perlu terus diperkukuh bagi memastikan perbezaan pandangan menjadi kekuatan kepada ummah.
“Semangat kesepakatan ini menunjukkan bahawa apabila para sarjana berhimpun dengan niat yang ikhlas, perbezaan pendapat boleh menjadi sumber kekuatan, dan ilmu dapat diangkat sebagai jambatan untuk membina kefahaman, perpaduan serta penyelesaian yang bermakna,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, Asia Tenggara perlu diberikan pengiktirafan lebih besar dalam wacana pemikiran Islam global.
Beliau berkata, persepsi bahawa pusat keilmuan Islam hanya tertumpu di dunia Arab perlu diperbetulkan dengan mengetengahkan peranan sarjana dari rantau ini.
“Kita harus berbangga dengan tradisi keilmuan sendiri, mengembangkan pemikiran tokoh terdahulu serta memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada wacana Islam dunia berdasarkan perspektif dan cara pemikiran kita sendiri, tanpa menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya.

Persidangan berkenaan turut menampilkan 12 pembentang dan panelis dari negara-negara ASEAN yang membincangkan tiga tema utama iaitu penglibatan komuniti ulama, kesederhanaan sebagai tunjang keharmonian serantau serta menangani cabaran sosioekonomi semasa.
Hasil perbincangan itu dijangka menghasilkan syor dan resolusi yang bersifat praktikal serta berimpak tinggi dalam memperkukuh institusi keilmuan Islam di peringkat serantau.

Dalam pada itu, penganjuran ini terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan ilmiah Islam di Asia Tenggara serta platform penyatuan pemikiran sarjana Islam di peringkat antarabangsa.
Turut hadir majlis Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.




