MALAYSIA TUAN RUMAH SIDANG KEMUNCAK PEMIMPIN AGAMA ANTARABANGSA 2026

KUALA LUMPUR, 11 Jun (IKIM) – Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh komuniti antarabangsa untuk menjadi tuan rumah The 3rd International Summit of Religious Leaders 2026, sebuah persidangan bertaraf global yang bertujuan memperkukuh keharmonian, keamanan dan pembangunan belia melalui dialog antara agama serta kerjasama antarabangsa.

Persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Muslim World League (MWL) itu akan berlangsung pada 12 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari 31 negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata penyertaan itu melibatkan pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik, pembuat dasar serta tokoh masyarakat dari seluruh dunia.

Menurut beliau, penganjuran persidangan tersebut mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung nilai kesederhanaan, perpaduan dan dialog dalam usaha memperkukuh keamanan serta kesejahteraan sejagat.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, persidangan ini bertujuan memupuk keharmonian, keamanan dan persefahaman dalam masyarakat majmuk, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform dialog global yang diyakini untuk membincangkan isu berkaitan keamanan, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, persidangan itu turut mencerminkan komitmen bersama dalam mempromosikan kehidupan yang aman, memperkukuh keharmonian sosial serta memperkasa golongan muda sebagai rakan strategik dalam membina komuniti yang berdaya tahan dan inklusif.

Persidangan berkenaan akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan turut hadir bersama Setiausaha Agung Muslim World League, Sheikh Dr. Mohammad bin Abdul Kareem Al-Issa, anggota Jemaah Menteri dan para perwakilan antarabangsa.

Sebanyak 18 pembentang dan panelis antarabangsa akan berkongsi pandangan menerusi empat tema utama iaitu memperkukuh keharmonian sosial dan saling menghormati, memperkasa belia melalui pendidikan dan kepimpinan, menangani cabaran semasa generasi muda serta memperkukuh peranan pemimpin agama dalam pembangunan dan pemerkasaan belia.

JAKIM turut menjemput pengamal media untuk membuat liputan sepanjang persidangan berlangsung. Selain itu, sesi persidangan akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi JAKIM dan Muslim World League bagi membolehkan masyarakat mengikuti perbincangan yang berlangsung.

Penganjuran sidang kemuncak ini dilihat sebagai satu platform penting dalam mengukuhkan kerjasama antara agama dan budaya, sekali gus menyumbang kepada usaha membina dunia yang lebih aman, harmoni dan inklusif untuk generasi masa depan.

WhatsApp
Scroll to Top