KUALA LUMPUR, 11 Jun (IKIM) – Gejala buli yang semakin membimbangkan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan aspek psikologi, kesihatan mental, pendidikan, keluarga dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan individu serta kestabilan negara terus terpelihara.
Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hj Othman berkata isu buli tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah disiplin semata-mata kerana ia memberi kesan besar terhadap kesihatan mental, emosi dan fizikal mangsa.
Menurut beliau, masyarakat perlu melihat isu tersebut dari perspektif yang lebih luas kerana buli boleh berlaku dalam pelbagai persekitaran termasuk sekolah, universiti, tempat kerja, institusi awam, media sosial, keluarga dan komuniti.
“Dalam era digital yang serba terhubung ini, bentuk buli semakin berubah. Selain buli fizikal dan verbal, kita kini berhadapan dengan buli siber, penghinaan dalam talian, gangguan psikologi berterusan, pengasingan sosial dan pelbagai bentuk manipulasi emosi yang meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muzakarah Pakar Buli Dari Perspektif Psikologi dan Kesihatan Mental di Bilik Persidangan, Dewan Sajian IKIM, di sini hari ini.

Mengulas statistik semasa, beliau berkata sebanyak 7,681 kes buli direkodkan pada tahun 2024 berbanding 6,528 kes pada tahun sebelumnya, menunjukkan peningkatan lebih 17 peratus dalam tempoh setahun.
Bagaimanapun, beliau percaya angka sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan masih ramai mangsa yang memilih untuk tidak melaporkan kejadian yang dialami kerana takut, malu atau hilang keyakinan terhadap tindakan susulan yang bakal diambil.
Menurut beliau, pelbagai kajian menunjukkan bahawa mangsa buli berisiko mengalami gangguan psikologi seperti keresahan melampau, kemurungan, gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), hilang keyakinan diri, gangguan tidur serta kecenderungan mencederakan diri sendiri.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kesan buli tidak terhad kepada aspek emosi semata-mata malah boleh menyebabkan kecederaan fizikal yang serius, kecacatan kekal dan dalam kes tertentu mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Setiap tindakan membuli mempunyai potensi untuk memusnahkan kehidupan seseorang. Oleh itu, kita tidak boleh menganggap buli sebagai kenakalan biasa atau sebahagian daripada proses membesar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Islam meletakkan penghormatan terhadap maruah manusia pada kedudukan yang tinggi dan buli jelas bertentangan dengan prinsip maqasid syariah yang bertujuan memelihara nyawa, akal dan maruah insan.

Menurut beliau, usaha menangani buli bukan sahaja memenuhi tuntutan undang-undang dan dasar pentadbiran, malah merupakan tanggungjawab agama dan amanah kemanusiaan.
Dalam pada itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof berkata kajian menunjukkan sebahagian pelaku buli sendiri datang daripada latar belakang yang bermasalah seperti pernah mengalami keganasan, pengabaian atau trauma.
Katanya, pemahaman terhadap faktor-faktor tersebut penting bagi membantu pihak berkaitan merangka intervensi yang lebih berkesan dan berasaskan sains tingkah laku serta sokongan psikososial.
Beliau turut menarik perhatian bahawa gejala buli kini semakin mendapat perhatian di tempat kerja, termasuk dalam bentuk penghinaan berterusan, ugutan, pengasingan sosial, manipulasi emosi, eksploitasi kuasa dan tekanan kerja melampau.
“Ini menunjukkan bahawa buli bukan isu pendidikan semata-mata. Ia adalah isu budaya, nilai, kuasa dan akhirnya isu kemanusiaan yang perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar sekolah diperkasakan, institusi keluarga diperkukuhkan, tempat kerja diwujudkan sebagai ruang yang selamat dan bermaruah serta media sosial digunakan secara bertanggungjawab bagi membentuk budaya masyarakat yang berteraskan hormat, empati dan ihsan.
Beliau percaya budaya empati merupakan antara penawar paling berkesan dalam membendung gejala buli kerana ia membolehkan seseorang memahami kesukaran dan cabaran yang dihadapi orang lain serta menghalang mereka daripada melakukan tindakan yang boleh menyakiti sesama insan.
Muzakarah tersebut menghimpunkan pakar-pakar pelbagai bidang bagi membincangkan strategi dan cadangan praktikal untuk memperkukuh dasar, program intervensi serta pembangunan masyarakat yang lebih sihat dari aspek mental, emosi dan spiritual.




