Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 11 Jun (IKIM) — Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Program SME Bank iTEKAD ISHRAF telah membantu hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara dengan pendekatan holistik yang menggabungkan pembiayaan, latihan, bimbingan perniagaan dan akses pasaran.
Pengerusi SME Bank Malaysia Berhad, Zulkiflee Hashim berkata program yang dilaksanakan di bawah rangka kerja kewangan sosial iTEKAD yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu memberi fokus kepada pembangunan usahawan asnaf dan komuniti yang mempunyai akses terhad kepada peluang keusahawanan.

Beliau berkata sejak pelaksanaannya, program berkenaan berjaya menjana hampir RM40 juta pendapatan serta mewujudkan hampir 400 peluang pekerjaan di seluruh negara.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa peluang yang diberikan bersama sokongan yang bersesuaian mampu mengubah kehidupan serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat,” katanya pada Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 di sini hari ini.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata beliau sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama strategik yang membawa perubahan positif kepada masyarakat melibatkan agensi di bawah kementeriannya bersama sektor korporat.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut memberi fokus kepada usahawan asnaf menerusi latihan, bimbingan serta bantuan modal permulaan dengan matlamat meningkatkan kemahiran perniagaan peserta agar dapat mengubah taraf hidup mereka.
Tambahnya, Kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan transformasi menyeluruh merangkumi ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan berkualiti. Langkah itu bertujuan melonjakkan pendapatan isi rumah sekali gus menyokong kemampanan ekonomi negara.
Katanya, usaha tersebut selaras dengan gagasan Membangun Malaysia MADANI yang bukan sahaja menekankan pembinaan sahsiah diri, malah memastikan rakyat mempunyai pendapatan yang setimpal dan kehidupan yang lebih baik.

“Kerjasama strategik antara SME Bank selaku sektor korporat dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) merupakan usaha yang sangat komprehensif dalam mewujudkan usahawan asnaf yang lebih kompetitif dan berdaya saing melalui program intervensi berstruktur,” katanya.
Beliau berkata pembangunan golongan asnaf tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan semata-mata, sebaliknya bertujuan melahirkan individu yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat melalui zakat, sedekah dan peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Dalam pada itu, beliau berkata iTEKAD ISHRAF 4.0 melibatkan penyertaan seramai 420 peserta di seluruh negara dengan kerjasama majlis agama Islam negeri-negeri, manakala majlis graduasi tersebut turut mengiktiraf 14 usahawan asnaf cemerlang berdasarkan prestasi perniagaan termasuk pertumbuhan jualan, penciptaan pekerjaan, penggunaan teknologi dan pengembangan perniagaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa YAPEIM menyediakan sumbangan RM500,000 sebagai dana sokongan bagi menjayakan program itu, khususnya dalam aspek latihan dan bimbingan, serta yakin kerjasama strategik yang bermula sejak ISHRAF 2.0 dan iTEKAD ISHRAF 3.0 akan terus meningkatkan taraf sosioekonomi peserta pada masa hadapan.




