Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 7 Jun (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menerusi program khas di pentas utama acara berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Program ini memperuntukkan slot selama dua jam khas buat IKIMfm bagi menghimpunkan penyampai, penerbit dan pendengar setia dalam sesi pertemuan bersemuka yang menampilkan pengisian berfokuskan ilmu serta pembudayaan amalan membaca.
Antara pengisian utama ialah slot “Usrah Nurani: Duniaku Buku” yang menampilkan Ustaz Zulramli M. Razali sebagai naqib bersama Dato’ Dr. Hj. Zahazan Mohamad serta Haji Zamri Zainal Abidin yang membincangkan pengisian ilmiah berkaitan kepentingan budaya ilmu dan amalan membaca dalam masyarakat.
Turut hadir program ialah Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail dan Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menjadi wadah penting dalam mengangkat budaya ilmu serta mengembalikan masyarakat kepada asas membaca sebagai tuntutan wahyu.

“Ini menunjukkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini nak membawa kita kembali kepada asas pertama iaitu wahyu yang diturunkan untuk membaca,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata fokus IKIM adalah memperkukuh pendidikan berimpak tinggi yang mampu memberi kesan kepada pembentukan dasar serta kefahaman Islam yang lebih tepat dalam kalangan masyarakat.

“Dalam aspek pendidikan, kita akan menumpukan kepada pendidikan berimpak tinggi yang boleh mengubah dasar untuk kebaikan ummah dan memberi kefahaman Islam yang benar,” katanya.
Warga kerja Pusat Media IKIM turut hadir dalam program tersebut yang merupakan barisan yang terlibat langsung dalam pembinaan kandungan IKIMfm sejak awal penubuhan stesen radio ini.

Dengan sambutan ulang tahun ke-25 di PBAKL 2026, IKIMfm terus membuktikan peranannya sebagai pemangkin budaya ilmu dan saluran dakwah yang relevan dalam era penyiaran moden.
Jurugambar: Fatkhulmungin Mohd Yusof




