MENTERI AGAMA SERU RAKYAT HAYATI RUKUN NEGARA, PERKUKUH PERPADUAN NASIONAL

KUALA LUMPUR, 2 Jun (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara demi menjamin perpaduan serta keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata pihaknya bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung penuh takzim titah dan nasihat Sultan Ibrahim yang menyeru rakyat menghayati Rukun Negara sebagai panduan dalam kehidupan bermasyarakat.

Menurut beliau, kemakmuran ekonomi dan kemasukan pelaburan yang dinikmati Malaysia pada hari ini adalah hasil daripada keharmonian antara kaum serta kestabilan politik yang dibina berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Wajib kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT ini dan berdoa agar Malaysia terus dikurniakan keamanan serta tidak berdepan krisis yang melanda beberapa negara lain,” katanya.

Zulkifli berkata titah Seri Paduka Baginda turut mengukuhkan lagi pandangan dan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap isu rakyat serta kepentingan memelihara hubungan harmoni antara kaum.

Beliau menegaskan bahawa keprihatinan Raja-Raja Melayu terhadap perpaduan dan kesejahteraan rakyat membuktikan institusi Raja sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serta keharmonian negara terus terpelihara.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menekuni titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kembali menghayati semangat Rukun Negara agar negara terus aman, makmur dan maju untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, menghormati kepelbagaian dan menjadikan Rukun Negara sebagai pedoman dalam membina Malaysia yang lebih bersatu dan sejahtera,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top