Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 3 Jun (IKIM) – Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kekal berperanan sebagai institusi pemikir Islam negara dengan memperkasa budaya ilmu melalui penerbitan pelbagai karya ilmiah yang relevan dan selari keperluan masyarakat masa kini.
Usaha itu diperkukuh menerusi Pavilion Baitul Hikmah MADANI sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang menghimpunkan penerbitan IKIM bersama agensi lain di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menterinya, Dr. Zulkifli Hassan berkata sambutan menggalakkan orang ramai terhadap buku-buku terbitan agensi agama termasuk IKIM menunjukkan masyarakat masih menghargai karya ilmiah sebagai sumber rujukan dan penambahan ilmu.
“Alhamdulillah kita mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan buku-buku terbitan kita dan pelbagai tajuk, pelbagai kategori dan pelbagai genre. Jadi ini menunjukkan bahawa agensi hal ehwal agama sentiasa ke hadapan dalam menawarkan solusi dan penyelesaian termasuk dalam konteks penyelidikan, mengkaji dan juga penerbitan-penerbitan karya ilmiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pavilion Baitul Hikmah MADANI dan melancarkan buku-buku baharu terbitan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 27 karya baharu diterbitkan oleh pelbagai agensi hal ehwal agama termasuk IKIM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam memperkayakan khazanah ilmu serta menyediakan bahan bacaan yang dapat membantu masyarakat memahami isu-isu semasa daripada perspektif Islam yang sahih dan seimbang.

Zulkifli turut menggesa masyarakat agar menjadikan pembacaan sebagai budaya hidup dengan menekuni karya-karya ilmiah yang berkualiti. “Kita bukan hanya mendengar ceramah dan sebagainya, tetapi juga kita perlu menekuni karya-karya, buku-buku yang ilmiah yang terbaik supaya kita dapat menambahkan keilmuan kita dan supaya kita dapat membudayakan keilmuan, membudayakan membaca selari dengan hasrat MADANI Membaca, Malaysia MADANI yang kita hasratkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pavilion Baitul Hikmah Madani yang menghimpunkan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama mengangkat tema “Madani: Ilmu dan Adab” bagi menekankan agenda negara melahirkan modal insan berilmu, bersahsiah mulia dan beradab tinggi. Inisiatif ini turut mengukuhkan peranan IKIM serta agensi berkaitan dalam memacu budaya ilmu serta meluaskan akses rakyat kepada sumber pengetahuan berkualiti demi merealisasikan Malaysia MADANI yang berteraskan ilmu dan kefahaman Islam yang mampan.




