HAJI MALAYSIA TERSUSUN SISTEMATIK HASIL KOMITMEN TH – ZULKIFLI

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

SEPANG, 1 Jun (IKIM) – Pengurusan haji Malaysia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila musim haji 1447H/2026M disifatkan berlangsung dengan amat tersusun, sistematik dan berkesan hasil komitmen berterusan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kelancaran urusan haji kali ini membuktikan Malaysia memiliki antara sistem pengurusan haji terbaik di dunia dengan TH terus memainkan peranan sebagai peneraju pengurusan peringkat global

“Buat kali pertama saya dimaklumkan oleh TH bagaimana Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah datang ke khemah kita, melihat persiapan kita dan beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia.

“Secara rumusannya, Alhamdulillah urusan haji kali ini sangat tersusun, begitu sistematik, rapi dan teliti. Saya ucapkan tahniah kepada Tabung Haji,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 selepas menunaikan ibadah haji.

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan kesungguhan TH dalam memastikan setiap aspek pengurusan dan kebajikan jemaah diberi perhatian secara menyeluruh sepanjang musim haji.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu oleh TH, termasuk Program Green Hajj (Haji Lestari), telah meletakkan Malaysia sebagai antara negara perintis dalam memperkasa agenda kelestarian sepanjang musim haji.

“Malaysia mendahului banyak negara lain melalui usaha kitar semula dan kitar tinggi kain ihram dan barangan yang boleh digunakan semula. Kita juga melaksanakan kempen kebersihan di kawasan Masyair dan penginapan jemaah,” katanya.

Pada masa sama, penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh mutu perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji Malaysia.

“Tabung Haji telah mengintegrasikan teknologi digital dan AI dalam operasi haji antaranya menerusi aplikasi e-TAIB yang membolehkan jemaah mendapatkan maklumat dan jawapan secara masa nyata, dipantau oleh pembimbing atau pakar rujuk syariah,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian TH di peringkat antarabangsa, beliau berkata institusi itu sekali lagi menerima Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut selain mengekalkan Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.

“Ini merupakan satu bukti bahawa negara kita mempunyai satu pengurusan haji yang terbaik dan menjadi rujukan global dan dunia,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top