KOTA BHARU, 25 Mei (IKIM) – Pegawai Khas Pengerusi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Saudara Amir Firhan Rosli menerima pengiktirafan sebagai Naib Johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kelantan 2026 bersempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung pada Sabtu.
Penghargaan tersebut disampaikan oleh Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal yang mewakili kerajaan negeri dalam majlis berkenaan.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai komitmen dan penglibatan aktif Amir Firhan dalam bidang pembangunan belia, dakwah, kepimpinan mahasiswa serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan di pelbagai peringkat.

Pencapaian tersebut turut mencerminkan peranan golongan belia dalam menyumbang idea, tenaga dan kepimpinan ke arah pembangunan masyarakat yang lebih progresif serta berteraskan nilai murni.
Anugerah Perdana Belia Negara merupakan pengiktirafan kepada individu dan organisasi belia yang menunjukkan kecemerlangan serta sumbangan signifikan dalam pembangunan belia dan komuniti.
Pengiktirafan yang diterima Amir Firhan diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus menyumbang bakti kepada agama, masyarakat dan negara selaras dengan aspirasi melahirkan generasi belia yang berilmu, berintegriti dan berjiwa rakyat.




