Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
PUTRAJAYA, 24 Mei (IKIM) – Program Islamik yang mengangkat tema “Aspirasi Menuju Redha” anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), khususnya bagi para wanita bagi membincangkan peranan wanita sebagai ejen perubahan dalam keluarga berteraskan al-Quran dan Sunnah demi melahirkan generasi berkualiti serta menyokong aspirasi pembangunan negara MADANI, berlangsung di Dewan Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata wanita merupakan tonggak penting dalam membentuk keluarga kerana mereka menjadi sumber kasih sayang, kekuatan emosi dan pencorak masa depan generasi akan datang.

Menurut beliau, setiap rumah tangga ibarat sebuah perjalanan hijrah yang memerlukan ilmu, kefahaman agama dan kesabaran untuk dibentuk menjadi sebuah “Madinah” yang membawa cahaya serta kesejahteraan.
“Rumah kita itu ibarat Yathrib, perkahwinan kita juga satu perjalanan baharu yang asing. Dengan panduan al-Quran dan hadis Nabi SAW, kita berusaha membentuk keluarga yang bercahaya umpama Madinah,” katanya.

Sementara itu, perkongsian Masitah Mohd Afandy yang menceritakan pengalaman hidupnya selepas terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan beliau hilang penglihatan, turut menyentuh hati para peserta.
Masitah berkata ujian tersebut mengubah sepenuhnya perspektifnya terhadap erti hidup dan reda, namun beliau memilih untuk bangkit dan terus memberi inspirasi kepada masyarakat melalui kisah ketabahan diri.

Dalam pada itu, pemenang cabutan bertuah pakej umrah, Damia Faqihah Norley Firdaus, 19, mengakui tidak menyangka namanya dipilih sebagai penerima hadiah berkenaan kerana beliau hadir ke program tersebut bersama ibunya dan berharap ibunya yang akan memenangi cabutan tersebut.
Menurut Damia, program seumpama itu wajar diperbanyakkan kerana mampu membuka mata golongan muda untuk mendekati program berunsurkan ilmu dan keagamaan.

Beliau berkata penghayatan ilmu agama secara lebih mendalam bukan sahaja dapat membentuk jati diri masyarakat Islam, malah membantu mengubah perspektif negatif golongan bukan Islam terhadap agama Islam ke arah yang lebih baik.
Turut hadir majlis isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Haji Zamri Zainal Abidin, Ustazah Nor Asmahan Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Wanita Islam YADIM, Prof Ts Dr Zuriati Ahmad Zulkarnain.

YADIM berharap program ini dapat menjadi platform menyemarakkan semangat peserta, khususnya golongan muda, untuk menjadikan ujian sebagai titik tolak membina diri dan mengejar reda Ilahi.




