Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 23 MEI 2026 (IKIM) – Petrosains meraikan ulang tahun pertama maskot kesayangannya, A.R.I.F., menerusi sambutan “A.R.I.F.’s Birthday ONE-derland” yang berlangsung meriah di Petrosains, The Discovery Centre di sini hari ini.
Program yang berlangsung sempena hari pertama cuti sekolah itu berjaya menghimpunkan hampir 1,500 pengunjung terdiri daripada keluarga, kanak-kanak dan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti bersifat pembelajaran dan interaktif yang mengetengahkan pendekatan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara menyeronokkan.

Maskot A.R.I.F. yang membawa maksud “A Resourceful Intelligent Friend” diperkenalkan sebagai simbol inspirasi kepada masyarakat khususnya kanak-kanak untuk terus meneroka dunia ilmu pengetahuan. Selain menjadi ikon Petrosains, A.R.I.F. turut berperanan mendekatkan masyarakat dengan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan kreatif, santai dan interaktif.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad berkata sambutan ini membuktikan bahawa pembelajaran boleh menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan apabila diraikan bersama komuniti.

Menurut beliau, kehadiran hampir 1,500 pengunjung mencerminkan hubungan erat yang telah terbina serta komitmen berterusan Petrosains dalam menyampaikan pengalaman pembelajaran yang memberi impak positif.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hubungan Pihak Berkepentingan dan Komunikasi Petrosains, Shamini Balan berkata pihaknya berharap A.R.I.F. menjadi pengaruh positif kepada masyarakat supaya mereka terus terdorong untuk belajar, meneroka dan memahami ilmu pengetahuan khususnya berkaitan alam sekitar serta masa depan planet.

Beliau turut menambah bahawa tema cuti sekolah tahun ini iaitu “People and Planet” menekankan kepentingan kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Tema cuti sekolah tahun ini ialah ‘People and Planet’ yang mengetengahkan kepentingan kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar kerana generasi hari ini memainkan peranan penting dalam menjaga masa depan planet kita.”

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan sepanjang sambutan termasuk pembuatan topeng A.R.I.F., lukisan muka, kad ucapan hari jadi, kuiz serta Cabaran Tarian A.R.I.F. yang menjadi antara tarikan utama pengunjung.
Sepanjang sambutan, Petrosains turut memperkenalkan pengalaman kios foto digital “AddYours” bertemakan A.R.I.F. yang membolehkan pengunjung berkongsi momen sambutan secara dalam talian dan menjadi sebahagian daripada memori digital ulang tahun A.R.I.F.

Nurul Syahirah yang hadir bersama dua orang anaknya berkata, “Anak-anak saya sangat gembira dengan aktiviti lukisan muka dan membuat kad hari jadi untuk A.R.I.F. Mereka juga seronok bergambar dan menari bersama A.R.I.F.”
Petrosains turut memaklumkan bahawa A.R.I.F. akan terus menemui orang ramai melalui program jelajah di seluruh negara serta di pusat satelit di Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu dan pusat baharu yang bakal dibuka di Kuching, sekali gus memperkukuh usaha memperluaskan akses pendidikan STEM kepada masyarakat.




