KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) serta menahan lebih 100 aktivis termasuk rakyat Malaysia di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Beliau menyifatkan tindakan terhadap misi bantuan kemanusiaan itu sebagai jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta mencerminkan kebiadaban rejim Zionis terhadap usaha membantu rakyat Gaza yang terus berdepan penindasan.
Menurut beliau, kerajaan dan rakyat Malaysia perlu terus bersatu dalam menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin serta menolak segala bentuk kekejaman yang dilakukan rejim Israel.
Zulkifli turut menyatakan sokongan terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia dalam menangani isu tersebut di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan semua aktivis yang ditahan serta kemenangan buat rakyat Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, Global Sumud Flotilla Tracker mengesahkan empat peserta Malaysia terakhir yang berada di kapal-kapal GSF 2.0 turut diculik rejim Zionis, menjadikan keseluruhan 29 peserta Malaysia kini ditahan.
Kesemua peserta yang ditahan difahamkan akan dibawa ke Pelabuhan Ashdod di negara haram Israel.
Sementara itu, tentera Israel turut didakwa melepaskan tembakan ketika serbuan ke atas salah sebuah kapal Global Sumud Flotilla, Girolama.
Bunyi tembakan dilaporkan kedengaran menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), manakala peserta di atas kapal dilihat berada dalam keadaan panik ketika insiden berlaku.
Zulkifli dalam masa sama menyeru masyarakat untuk terus memperkukuh solidariti dan menyuburkan kesedaran terhadap penderitaan rakyat Palestin melalui pelbagai usaha dan saluran yang aman.
Beliau menegaskan perjuangan membela Palestin tidak boleh dihentikan kerana kegagalan untuk terus bersuara dan bertindak hanya akan memberi ruang kepada rejim Zionis untuk menganggap dunia telah menerima serta mengiktiraf tindakan mereka.




