TEKANAN ANTARABANGSA DESAK PEMBEBASAN AKTIVIS FLOTILA KEMANUSIAAN GAZA

SEPANG, 21 Mei 2026 (IKIM) – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) menegaskan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak terhadap rejim Israel menjadi faktor utama pembebasan semua aktivis flotila kemanusiaan Gaza yang sebelum ini ditahan di perairan antarabangsa.

Menurut SNCC, insiden penahanan dan penculikan aktivis misi kemanusiaan itu mencetuskan kemarahan serta kecaman pelbagai negara dan organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan Kesatuan Eropah (EU).

Kecaman tersebut turut disuarakan menerusi demonstrasi dan tindakan diplomatik di beberapa negara antaranya Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.

SNCC memaklumkan tekanan antarabangsa itu bukan sekadar melibatkan kecaman, malah disusuli ancaman sekatan ekonomi dan diplomatik, tindakan perundangan serta pengeluaran nota diplomatik terhadap rejim Israel.

Dalam perkembangan terkini, SNCC berkata rancangan awal untuk menahan aktivis dalam tempoh panjang di Penjara Ketziot akhirnya dibatalkan susulan tekanan global yang semakin meluas serta kesan terhadap reputasi rejim tersebut.

SNCC turut memaklumkan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, telah menghantar tiga pesawat khas Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon bagi membawa pulang semua aktivis flotila yang ditahan.

Menurut laporan terkini daripada ADALAH yang disahkan SNCC, seramai 428 aktivis flotila kini dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon sebelum dijadual berlepas ke Istanbul menerusi tiga penerbangan khas Turkish Airlines.

Delegasi Malaysia dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Turkiye bagi tujuan dokumentasi dan laporan susulan dakwaan terdapat tahanan yang dipukul serta mengalami kecederaan ketika ditahan.

SNCC menjangkakan delegasi Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air pada 23 Mei dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei ini.

Dalam kenyataan sama, SNCC menyeru rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh solidariti terhadap perjuangan Palestin menerusi solat hajat, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik dan advokasi berterusan sehingga sekatan ke atas Gaza ditamatkan sepenuhnya.

SNCC turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas usaha diplomatik yang digerakkan bagi memastikan proses membawa keluar kesemua 29 rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur.

WhatsApp
Scroll to Top