TVIKIM RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA MENERUSI PODCAST “BUKAN MAKSUM”

SINGAPURA, 21 Mei (IKIM) – TVIKIM mengharumkan nama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) apabila berjaya merangkul Anugerah Series Production pada Asia Pacific Broadcasting Awards 2026 menerusi penerbitan podcast “Bukan Maksum” hasil karya Norhaffizah Razak.

Kejayaan tersebut sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat TVIKIM apabila podcast berkenaan menjadi antara kandungan penyiaran Islam tempatan yang menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Podcast “Bukan Maksum” merupakan penerbitan istimewa yang menjadi perintis sebagai rakaman podcast pertama dijalankan di dalam penjara di Malaysia. Program itu mengetengahkan isu kesedaran psikologi dan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat melalui perkongsian pengalaman serta realiti kehidupan di sebalik tirai besi.

Program berkenaan dikendalikan bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang di bawah Jabatan Penjara Malaysia, Haji Ikhram Hussin serta penyampai IKIMfm, Tyzo Xander yang berpengalaman luas dalam bidang penyiaran.

Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura dan turut dihadiri Pengurus TVIKIM, Mohd Khairul Omar.

Kejayaan itu mencerminkan komitmen TVIKIM dalam menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memberi nilai pendidikan kepada masyarakat, malah membawa impak positif terhadap kesedaran sosial dan kesejahteraan mental.

Pengiktirafan tersebut juga dilihat sebagai satu pencapaian membanggakan bukan sahaja buat warga IKIM, malah kepada industri penyiaran Islam di negara ini secara keseluruhannya.

Anugerah Asia-Pacific Broadcasting+ Awards 2026 merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri penyiaran yang menghimpunkan penyertaan dari lebih 20 negara di rantau Asia-Pasifik dan global termasuk Malaysia, Singapura, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penganjuran anugerah tersebut menjadi platform penting dalam mendefinisikan semula landskap penyiaran serta menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan media di peringkat serantau dan antarabangsa.

Majlis anugerah itu turut disertai syarikat penyiaran utama dan pemain industri media terkemuka seperti Astro, Les’ Copaque, Mediacorp dan ABS-CBN.

Dalam masa sama, TVIKIM turut berbangga apabila berjaya berdiri sebaris bersama organisasi penyiaran antarabangsa seperti CNBC Mongolia, GMA Network, beIN Sports, Asharq News dan Dubai Media Incorporated yang masing-masing merupakan entiti berpengaruh dalam industri penyiaran global.

Secara keseluruhannya, pengiktirafan tersebut mencerminkan kedudukan Asia-Pacific Broadcasting+ Awards sebagai platform berprestij yang bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan kandungan, malah menilai aspek inovasi serta sumbangan signifikan terhadap pembangunan industri penyiaran di peringkat Asia-Pasifik dan global.

WhatsApp
Scroll to Top