RM2.7 TRILION NILAI PASARAN MODAL ISLAM, MERANGKUMI 64 PERATUS EKONOMI NEGARA

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 19 Mei (IKIM) – Pasaran modal Islam Malaysia kini bernilai RM2.7 trilion, merangkumi hampir 64 peratus daripada keseluruhan pasaran modal negara setakat penghujung 2025.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata angka itu mencerminkan tanggungjawab besar untuk memastikan sistem kewangan selari dengan Maqasid Syariah.

Beliau menegaskan pelaburan patuh syariah bukan sekadar instrumen kewangan, tetapi jalan menuju kesejahteraan sosial.

“Apabila kita melabur dalam instrumen yang patuh syariah, kita sebenarnya sedang melabur dalam masa depan yang lebih adil, telus, dan beretika,” katanya pada Persidangan Pelaburan Islam 2026 di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Persidangan bertemakan “Menjana Kekayaan Berlandaskan Syariah: Potensi Emas dan Perak dalam Ekonomi Semasa” itu menumpukan peranan emas dan perak sebagai aset selamat.

Sepanjang 2025, harga emas naik melebihi 60 peratus manakala perak meningkat lebih 40 peratus di tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Mengulas lanjut, Pengarah Pasaran Derivatif dan Karbon Bursa Malaysia, Mohd Saleem Kader Bakas berkata instrumen derivatif patuh syariah berpotensi menjadi pelengkap kepada pelaburan fizikal seperti emas dan perak.

Menurut beliau, produk ini memberi ruang kepada pelabur untuk mengurus risiko harga tanpa menyimpang daripada prinsip syariah.

“Kami melihat permintaan terhadap instrumen patuh syariah dalam pasaran derivatif dan karbon semakin meningkat. Ini selari dengan trend global yang mahukan pelaburan bukan sahaja memberi pulangan, tetapi juga menyokong agenda kelestarian dan tanggungjawab sosial,” katanya.

Sementara itu, IKIM menyambut baik inisiatif Platform Bursa Gold Dinar yang membolehkan pelaburan bermula serendah RM10 dan nilai kecil itu mampu membina budaya menyimpan dan berfikir jangka panjang dalam kalangan anak muda.

Perubahan sikap generasi baharu turut disorot. Jika dahulu persoalan utama ialah pulangan, kini ramai mula bertanya sama ada pelaburan itu selari dengan nilai hidup mereka.

IKIM berharap persidangan itu menjadi platform merapatkan jurang antara sarjana, penggubal dasar, pemain industri dan masyarakat awam bagi memastikan ekosistem kewangan Islam berkembang secara inklusif dan mampan.

Turut hadir pada persidangan ini ialah Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Prof Dato’ Dr Aznan Hasan.

WhatsApp
Scroll to Top