HULU LANGAT, 11 Mei (IKIM) β SME Corp. Malaysia memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi memperhebat pembangunan usahawan dan perniagaan tempatan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) yang dijangka memanfaatkan 500 usahawan belia Bumiputera di seluruh negara.
Program yang berlangsung secara serentak di tiga zon iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula 4 hingga 10 Mei 2026 itu merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing.
Majlis Peluncuran Penutupan Program TUBE-S dan Program Tunas Usahawan (PROTAS) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy di Lembah Azwen Resort pada Ahad.
Menurut beliau, Program TUBE yang diperkenalkan sejak tahun 2014 telah menjadi inisiatif kerajaan berimpak tinggi dalam melatih usahawan belia Bumiputera.

Sehingga tahun 2025, seramai 9,043 belia telah mendapat manfaat melalui program itu, sekali gus melahirkan 8,805 perniagaan baharu dan mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan.
Katanya, usahawan belia di bawah program berkenaan juga berjaya menjana jualan terkumpul mencecah RM252 juta setakat ini.
Rizal berkata, falsafah SME Corp. Malaysia adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari peringkat permulaan sehingga mereka mampu berkembang sebagai pemain industri yang kukuh.
βSME Corp. Malaysia bukan sekadar memberi geran, tetapi turut membina keyakinan, disiplin dan daya tahan usahawan.
Saya menyeru agar peserta menjadikan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini sebagai bekalan paling bernilai untuk diamalkan dalam perniagaan masing-masing,β katanya.
Program TUBE-S Zon Semenanjung disertai 342 belia Bumiputera dan 50 usahawan asnaf di bawah Program PROTAS MAIWP.
Di Sabah dan Sarawak pula, masing-masing seramai 102 dan 43 belia Bumiputera berjaya dilatih melalui program yang sama.
Turut hadir majlis ialah Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Rahman Mohd Din; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ahmad Talmizi Yahaya; serta Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah, Prof Madya Dr. Mahazir Ismail.




