NESTLÉ MALAYSIA DAN JAKIM PERKUKUH KERJASAMA MAJUKAN EKOSISTEM HALAL NEGARA

KUALA LUMPUR, 5 Mei (IKIM) – Nestlé Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam industri Halal negara menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui inisiatif Strengthening Your Network and Ecosystem for Resilient Growth (SYNERGY).

Berteraskan tema “Memacu Halal, Memperkasa Komuniti”, inisiatif ini memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh ekosistem Halal merangkumi pendidikan, pembangunan industri serta pengukuhan rantaian bekalan bagi memastikan daya tahan dan kelestarian sektor tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols dalam ucapan pelancaran majlis SYNERGY Halal Nestlé Malaysia hari ini berkata Malaysia telah membina reputasi kukuh di peringkat global dalam kecemerlangan Halal, dan pihaknya komited untuk terus menyokong usaha tersebut.

Menurut beliau, komitmen Halal bukan sekadar memenuhi keperluan pensijilan, tetapi merupakan amanah yang diterapkan dalam keseluruhan operasi dan rantaian nilai syarikat, termasuk memperkasakan komuniti, menyokong usahawan serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz @ Saari menegaskan bahawa pembangunan ekosistem Halal yang kukuh memerlukan kerjasama berterusan antara pihak berkuasa, industri dan masyarakat.

Beliau berkata, sebagai rujukan utama piawaian Halal global, JAKIM menitikberatkan pematuhan ketat di setiap peringkat, dan inisiatif seperti yang dilaksanakan oleh Nestlé Malaysia mampu memperkukuh kapasiti industri serta menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab Halal dunia.

Turut hadir majlis Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor dan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Hj Ahmad Fuad Mat Ali.

Sejak beberapa dekad lalu, Nestlé Malaysia telah melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dan pembangunan Halal, termasuk inisiatif pendidikan seperti Halal@School yang melibatkan lebih 6,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu, program Halal@STEM yang diperkenalkan pada 2025 berjaya menarik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi dari perspektif Halal, manakala Ekspo HalalSTEM turut menghimpunkan ratusan pelajar dari seluruh negara.

Dalam usaha memperkasa usahawan muda, Program Nestlé Youngpreneurs telah melatih pelajar universiti dalam aspek keusahawanan dan amalan Halal, sementara Program Bimbingan PMKS pula membantu lebih 1,200 perusahaan kecil dan sederhana mendapatkan pensijilan Halal.

Terbaharu, Nestlé Malaysia turut memperkenalkan program bimbingan pensijilan Halal bagi penyedia logistik pihak ketiga dengan kerjasama JAKIM, melibatkan puluhan syarikat bagi memperkukuh pematuhan Halal dalam rantaian bekalan.

Di samping itu, kerjasama bersama IKIM menerusi program audio siar turut berjaya mencapai ratusan ribu pendengar di platform digital dan radio.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan Nestlé Malaysia dalam menjadikan Halal sebagai nilai teras organisasi, sekali gus menyumbang kepada usaha memartabatkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Halal global.

WhatsApp
Scroll to Top