KUANTAN, 5 Mei (IKIM) — Negara kerugian kira-kira RM700 juta setahun akibat kegiatan kecurian elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, kegiatan haram itu bukan sahaja berlaku di premis perniagaan, malah turut dikesan di kawasan kediaman, sekali gus menjejaskan pengguna yang membayar bil elektrik secara sah.
Sehubungan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat menerusi kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membanteras aktiviti berkenaan di seluruh negara.

Dalam satu operasi dikenali sebagai “Ops Steal” di Kuantan, dua buah rumah diperiksa dan dipercayai terlibat dalam kecurian elektrik dengan kerugian dianggarkan RM34,000 sebulan, mencecah lebih RM200,000 dalam tempoh enam bulan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Abdul Rahman turut mengingatkan bahawa aktiviti melombong bitcoin secara haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berisiko tinggi menyebabkan kebakaran akibat sambungan elektrik tidak selamat dan penggunaan mesin berkuasa tinggi.
“Untuk mengelakkan perkara itu, saya nasihatkan mereka juga menukar akaun bil Tenaga Nasional Bhd (TNB) kepada nama penyewa supaya tindakan berkaitan penggunaan elektrik dan sebarang kesalahan tidak ditanggung pemilik,” katanya kepada pemberita selepas “Ops Steal” di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan pemilik rumah agar lebih berwaspada terhadap penyewa serta memastikan urusan bil elektrik diurus dengan lebih teliti.

Orang ramai juga digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membendung kegiatan ini demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.




