PUTRAJAYA, 4 Mei (IKIM) – Sambutan Hari Ahli Geologi Peringkat Kebangsaan 2026 mengangkat peranan strategik bidang geologi sebagai pemacu ekonomi, pelindung komuniti dan asas kepada pembangunan lestari negara.

Majlis yang berlangsung di Hotel Zenith, Putrajaya ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup. Beliau menegaskan bahawa sambutan ini membawa makna besar dalam menghargai sumbangan komuniti geologi kepada negara memandangkan profesion dan kepakaran ahli geologi diperlukan dalam pelbagai sektor termasuk perlombongan, tenaga dan pembangunan infrastruktur.
“Sesungguhnya profesion ahli geologi adalah antara tunjang utama kemajuan kita, malah peranan ia amat kritikal dalam usaha kita memahami serta mengurangkan kesan bencana seperti tanah runtuh dan banjir demi keselamatan nyawa rakyat,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merangkap Pengerusi Lembaga Ahli Geologi, Datuk Zamri Ramli pula berkata, tema sambutan tahun ini, “Geologi Memacu Ekonomi, Melindungi Komuniti, Asas Pembangunan Lestari” mencerminkan kepentingan geosains dalam perancangan dan pengurusan sumber negara secara bersepadu.
Dalam masa sama, YB Menteri menggalakkan komuniti geologi untuk memanfaatkan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi meningkatkan ketepatan analisis serta kecekapan dalam menangani situasi kecemasan dan bencana alam.
Dalam konteks keselamatan rakyat, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemasangan 34 sistem amaran awal tanah runtuh serta pemantauan cerun di kawasan berisiko tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 
Beliau turut menegaskan kepentingan aspek etika dan profesionalisme dalam kalangan ahli geologi dengan mematuhi Akta Ahli Geologi 2008 bagi menjamin keselamatan awam dan kualiti perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, komuniti geologi negara kini mencatatkan seramai 3,492 ahli berdaftar, mencerminkan kekuatan profesional yang semakin berkembang dan inklusif.
Majlis turut menyaksikan peluncuran Garis Panduan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Inspektor Lembaga Ahli Geologi bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan profesion.
Sambutan Hari Ahli Geologi Malaysia 2026 yang julung kali diadakan di peringkat kebangsaan ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, industri, akademia dan rakan strategik dalam usaha memperkasa sektor geosains negara.




