KUALA LUMPUR, 1 Mei (IKIM) – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2026 dalam satu majlis berprestij yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.
Anugerah anjuran The World Brands Foundation itu disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan MAIS dalam menerajui ekosistem halal, khususnya dalam tadbir urus kewangan Islam serta pengurusan harta secara menyeluruh dan berintegriti.
Pengiktirafan tersebut diterima oleh Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, yang mewakili institusi berkenaan.
Kejayaan ini mencerminkan peranan signifikan MAIS sebagai pihak berkuasa utama dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor selepas DYMM Sultan, selaras dengan peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.
MAIS terus membuktikan kredibilitinya sebagai pemegang amanah zakat, baitulmal dan wakaf melalui pematuhan ketat terhadap piawaian perakaunan Islam, termasuk Piawaian Perakaunan Islam Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW).
Kecekapan pengurusan ini turut dibuktikan dengan pencapaian Sijil Kewangan Bersih daripada Jabatan Audit Negara yang berjaya dikekalkan setiap tahun, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan pengurusan dana Islam.
Selain itu, MAIS turut menawarkan perkhidmatan komprehensif dalam perancangan dan pengurusan harta umat Islam, meliputi penyediaan wasiat, hibah serta pengurusan pembahagian dan tuntutan pusaka.
Melalui Pelan Hala Tuju Ekonomi MAIS (HATEM) 2025–2030, pelbagai inisiatif dirangka bagi mengoptimumkan nilai aset baitulmal demi memastikan kelestarian ekonomi ummah.
Usaha pendigitalan juga diperkukuh menerusi penggunaan sistem seperti Sistem Wasiat Hibah (SISWA) dan e-faraid, sejajar dengan keperluan semasa.
Dalam masa sama, MAIS memperkukuh sinergi ekosistem Islam di Selangor melalui Pelan Hala Tuju Islam Selangor (HATIS) 2025–2030 yang dibangunkan bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi berkaitan serta rakan strategik.
Kerjasama ini memastikan penyampaian perkhidmatan sosioekonomi umat Islam dilaksanakan secara bersepadu, berintegriti dan berimpak tinggi.
Penganugerahan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan MAIS sebagai pembuat dasar utama dalam pentadbiran Islam negeri serta institusi yang komited dalam menjamin kelestarian sosial dan ekonomi umat Islam.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Dasar dan Pengurusan MAIS, Dr Hajah Nurhani Salwa Jamaluddin; Timbalan Setiausaha Operasi MAIS, Puan Hajah Norlaili Mohamad; serta barisan pengurusan tertinggi MAIS.




