Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 28 April (IKIM) – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) melalui Divisyen Tanah dan Hartanah memperkukuh kerjasama strategik bersama SD Guthrie Berhad sebagai kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) di Pulau Carey pada 26 Februari 2026.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan projek industri bersepadu seluas 2,500 ekar di Ladang Sepang, berhampiran KLIA Aeropolis yang akan dibangunkan sebagai “Sepang Industrial Park”.

Projek ini turut dirangka sebagai pembangunan perbandaran bersepadu yang menggabungkan komponen industri, komersial dan residensi bagi mewujudkan ekosistem pembangunan yang lengkap serta berimpak tinggi.
Kawasan tersebut dikenal pasti sebagai lokasi strategik dan berpotensi tinggi untuk menarik pelaburan bernilai besar, sekali gus memperkukuhkan ekosistem industri dan logistik negeri Selangor.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kawasan ini merupakan lokasi strategik dan berimpak tinggi serta berpotensi melalui pelaburan tinggi serta memperkukuhkan sistem industri dan logistik.
Beliau berkata kerjasama ini turut memanfaatkan kekuatan SD Guthrie dalam pengurusan tanah berskala besar serta keupayaan MBI Selangor dalam pemacuan pelaburan jangka panjang yang memberi pulangan kepada ekonomi negeri.

Ahmad Fadzli berkata fokus pembangunan juga menekankan persekitaran berkualiti, kemudahsampaian mobiliti yang efisien, infrastruktur yang kukuh serta bangunan pintar berasaskan teknologi moden, di samping penerapan elemen kelestarian dan hijau bagi menyokong pembangunan bandar bersepadu serta taman perindustrian yang berdaya tahan dan bersedia untuk keperluan masa hadapan.
Cadangan pembangunan ini juga menyokong aspirasi pembangunan berfokuskan aeroangkasa di bawah Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS), sekali gus memperkukuh kedudukan Sepang sebagai sebahagian koridor pertumbuhan strategik negeri.

Sementara itu Pengerusi Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat dalam pembangunan berimpak tinggi serta pengurusan tanah secara strategik yang memberi nilai jangka panjang kepada negeri.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata projek ini akan menjadi rangkaian pertumbuhan strategik IDRISS yang memperkukuh ekosistem industri dan penerbangan negeri, selain menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan peluang ekonomi baharu di Selangor.

Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh pembangunan industri bersepadu di Sepang serta menyokong aspirasi Selangor sebagai hab pelaburan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk jangka panjang.




