KUALA LUMPUR, 27 April 2026 (IKIM) – Program Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China–Malaysia 2026 yang julung kali dianjurkan dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.
Majlis perasmian kem tersebut disempurnakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub yang menekankan kepentingan kolaborasi antarabangsa dalam memperkasa bahasa dan budaya sebagai jambatan hubungan antara negara.

Majlis perasmian kemudiannya diteruskan dengan sesi dialog interaktif antara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abd Halim bersama pelajar-pelajar dari China yang menyertai program tersebut, yang dikendalikan oleh Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU, Prof Dr Indirawati Zahid.
Sesi itu menjadi platform penting untuk pertukaran pandangan, selain memberi peluang kepada para pelajar mendalami perspektif pendidikan tinggi serta perkembangan Bahasa Melayu secara lebih dekat.

Sementara itu, Adam Adli Abd Halim dalam kenyataannya berkata program tersebut merupakan inisiatif awal Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama rakan strategik termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka dan Beijing Foreign Studies University (BFSU).
Menurut beliau, program ini menjadi penanda aras baharu dalam usaha mengukuhkan hubungan Malaysia–China melalui bidang pendidikan tinggi, khususnya dalam pengajian bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Seramai pelajar dari 13 universiti di China yang mempelajari Bahasa Melayu hadir untuk mengikuti program selama empat hari ini. Mereka berpeluang berinteraksi secara langsung serta mendalami budaya dan pengalaman berkaitan bahasa yang dipelajari,” katanya.
Tambah beliau, sesi dialog dalam program tersebut yang turut dipimpin oleh Indirawati sekali gus memperlihatkan kesungguhan dalam memperluas pengaruh Bahasa Melayu di luar negara.

Adam Adli turut menjelaskan bahawa walaupun pelbagai program mobiliti pelajar telah dilaksanakan antara Malaysia dan China sebelum ini, program dalam bidang pengajian Melayu seperti ini merupakan yang pertama dianjurkan.
Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan serta diperluas kepada pelajar Malaysia agar turut mendapat peluang interaksi yang sama dalam bidang masing-masing.

“Diharapkan program ini bukan sahaja berjaya, malah menjadi satu budaya baharu dalam pembangunan pendidikan tinggi serta pemangkin kepada pengembangan Bahasa Melayu di peringkat global,” katanya lagi.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim dan dibiayai melalui dana sedia ada tanpa peruntukan tambahan khusus.

Kem ini dijangka membuka ruang lebih luas kepada pertukaran budaya, pemahaman bahasa, serta kerjasama akademik antara kedua-dua negara pada masa hadapan.

Turut hadir majlis ini Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Ketua Delegasi merangkap Dekan Fakulti Pengajian Asia BFSU, Prof Dr Su Yingying dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Fauzilahyatun Mustafa.




