PUTRAJAYA, 16 April (IKIM) — Kerajaan melancarkan pusat bilik operasi atau War Room sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim ekstrem melalui pendekatan keseluruhan kerajaan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut SPAN, War Room berfungsi sebagai pusat pemantauan strategik negara yang menggabungkan data, kepakaran dan tindakan pelbagai agensi bagi memastikan bekalan air negara kekal terjamin, stabil dan berdaya tahan.
Pendekatan ini, katanya, membolehkan negara beralih daripada kaedah reaktif kepada tindakan yang lebih proaktif dan berasaskan data dalam mengurus cabaran bekalan air, khususnya ketika cuaca semakin tidak menentu akibat perubahan iklim global.

SPAN memaklumkan, pelaksanaan platform ini turut memperkukuh koordinasi antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta operator air di seluruh negara.

Melalui kerjasama itu, tindakan pantas dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menghadapi sebarang risiko gangguan bekalan air termasuk pelaksanaan operasi pembenihan awan di beberapa negeri terjejas.
Masyarakat juga boleh memantau status semasa 43 empangan utama negara secara masa nyata melalui platform War Room di https://warroom.span.gov.my/warroom.
Kredit foto : SPAN




