ABIM SERU TABAYYUN DAN WACANA BERFAKTA DALAM ISU KRISIS TENAGA

KUALA LUMPUR, 9 April (IKIM) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak agar mengutamakan prinsip tabayyun, keadilan dan keilmuan dalam menilai isu krisis tenaga yang sedang hangat diperkatakan, khususnya berkaitan harga minyak dan faktor geopolitik.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam satu kenyataan hari ini berkata penggunaan istilah berat seperti dakwaan bahawa “umat Islam ditipu” perlu disandarkan kepada fakta yang sahih serta analisis yang bertanggungjawab, agar tidak mengelirukan masyarakat.

Menurut beliau, isu tenaga masa kini tidak boleh dipisahkan daripada realiti global, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat dan gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan serta harga tenaga dunia.

“Impak ini dirasai oleh banyak negara tanpa mengira mazhab atau pendirian politik. Justeru, perbezaan pandangan terhadap dasar kerajaan tidak wajar disederhanakan kepada tuduhan penipuan tanpa analisis ekonomi dan fakta yang boleh diverifikasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang adalah penting, namun perlu dilaksanakan secara berwibawa dengan mengemukakan cadangan dasar yang konkrit dan berasaskan fakta, bukan sekadar retorik.

Dalam masa sama, ABIM menggesa kerajaan untuk terus memperkukuh komunikasi dasar secara telus dan konsisten, termasuk memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang berkesan serta memperkasa keselamatan tenaga negara.

“Sebarang perubahan pendekatan dasar perlu disertai penjelasan yang jelas agar keyakinan awam terus terpelihara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbincangan awam seharusnya memberi fokus kepada usaha melindungi golongan rentan, menjamin keselamatan tenaga serta menyeimbangkan antara kebajikan rakyat dan kelestarian fiskal negara.

ABIM juga menyeru masyarakat untuk mengamalkan prinsip tabayyun dalam menyebarkan maklumat serta mengamalkan gaya hidup berhemah dalam penggunaan sumber tenaga.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi mengajak semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, masyarakat madani dan rakyat untuk berganding bahu menghadapi krisis tenaga yang dijangka berpanjangan.

Katanya, pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan bahawa daya tahan negara bergantung kepada perpaduan dan keutamaan terhadap kepentingan bersama.

“Ketegangan geopolitik yang menjejaskan bekalan tenaga dan meningkatkan kos sara hidup adalah cabaran sejagat yang menuntut semua pihak bertindak secara matang demi memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan,” katanya lagi.

Beliau menambah, Malaysia memerlukan budaya politik yang matang berteraskan ketepatan fakta, kejujuran dasar dan tanggungjawab bersama.

“Dalam keadaan krisis, disiplin fakta dan kejujuran intelektual bukan lagi pilihan tetapi keperluan asas dalam kepimpinan negara,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top