MALAYSIA PERKUKUH MISI KEMANUSIAAN MENERUSI SUMUD NUSANTARA 2026

SEPANG, 6 April (IKIM) – Malaysia terus memperkukuh peranan dalam misi kemanusiaan global apabila melancarkan Grand Campaign Sumud Nusantara 2026, satu gerakan bersepadu darat dan laut bagi membantu rakyat Gaza yang berdepan krisis berpanjangan.

Kempen ini menyaksikan penyertaan 100 negara berbanding 44 tahun lalu, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap isu Palestin serta keperluan tindakan segera.

Misi diselaraskan oleh Gagasan NGO Sumud di bawah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), merangkumi pelbagai inisiatif termasuk penghantaran 30 kontena bantuan kecemasan melalui laluan darat, pelayaran Sumud Flotilla 2.0 melibatkan puluhan kapal, serta usaha diplomatik dan perundangan di peringkat antarabangsa.

Misi ini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM Malaysia, Dato’ Dr, Sani Araby, manakala Nadir Al-Nuri sebagai Chef de Mission. Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula bertindak sebagai penaung utama, menjadikan Malaysia antara negara terawal yang menyokong usaha ini secara rasmi.

Bagi operasi penghantaran kontena bantuan, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari diberi tanggungjawab mengetuai misi ke Mesir serta melepaskan delegasi Malaysia di pelabuhan Barcelona.

Beliau berkata misi kali ini melibatkan hampir 3,000 peserta daripada kira-kira 100 negara, menjadikannya antara mobilisasi kemanusiaan terbesar pernah digerakkan bagi membantu Gaza. Tambahnya lagi, usaha berkenaan membawa mesej seluruh rakyat Malaysia dan kemanusiaan sejagat, bukan sekadar gerakan mana-mana kumpulan.

Ujarnya, lebih 300 tan bantuan melibatkan 30 kontena hasil sumbangan pelbagai pihak disasarkan memberi manfaat kepada sekitar 100,000 penduduk Gaza yang terjejas.

“Misi ini bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi membawa mesej kemanusiaan untuk melihat Palestin dibebaskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama antara kerajaan (G2G) dengan negara terlibat termasuk di Eropah bagi memastikan kelancaran operasi.

Dato’ Seri Amirudin turut menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan dan doa kepada delegasi yang terlibat dalam misi berkenaan.

Sumud Nusantara 2026 mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan global serta membela nasib rakyat Palestin, sekali gus membuktikan solidariti tanpa sempadan mampu menggerakkan perubahan di peringkat dunia.

WhatsApp
Scroll to Top