PROGRAM SATELIT KOMUNITI RAKYAT PERKUKUH PERANAN MASJID DAN PERPADUAN UMMAH

TAMBUN, 5 April (IKIM) – Program Satelit Komuniti Rakyat sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Tambun, Perak memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah serta mengeratkan perpaduan masyarakat.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berlangsung dari 3 hingga 5 April dan melibatkan lima masjid sekitar Tambun melalui pendekatan turun padang menyantuni komuniti.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli yang menegaskan program ini mencerminkan nilai Malaysia MADANI berteraskan ihsan, kesejahteraan dan keyakinan rakyat terhadap institusi agama.

Menurut beliau, pelaksanaan kenduri rakyat hasil sumbangan RM5,000 bagi setiap lokasi membolehkan masyarakat merasai kehadiran institusi agama secara langsung.

Selain itu, sumbangan keseluruhan RM35,000 daripada agensi termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) disalurkan kepada golongan asnaf melalui bantuan Bakul Makanan Rahmah. 

Beliau turut mengingatkan kepentingan perpaduan, amalan tabayyun serta literasi maklumat dalam menghadapi cabaran penyebaran maklumat tidak sahih, di samping menyeru institusi masjid terus menjadi pemangkin penyatuan ummah dan kesejahteraan negara.

Kredit foto : Shahrul Ridzuan

WhatsApp
Scroll to Top