PUTRAJAYA, 4 April (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan inisiatif Haji Lestari bagi musim haji 1447H/2026 sebagai langkah memupuk budaya sifar sisa dalam kalangan jemaah, khususnya melalui pengurusan dan kitar semula kain ihram terpakai.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, yang menyifatkan usaha tersebut selari dengan tuntutan maqasid syariah dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah meningkatkan kesedaran jemaah terhadap tanggungjawab bersama dalam menjayakan ibadah haji yang lebih bersih dan lestari.
“Kain ihram yang digunakan jemaah lazimnya hanya disimpan atau dibuang selepas musim haji. Melalui inisiatif ini, tekstil terbiar dapat dimanfaatkan semula untuk masyarakat dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

Dr Zulkifli memaklumkan bahawa inisiatif Haji Lestari akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu di Tanah Suci dan di tanah air.
Di Tanah Suci, lokasi pengumpulan akan disediakan di penginapan jemaah di Makkah dan Mina bagi memudahkan mereka menyumbang kain ihram yang tidak dibawa pulang.
Sementara itu di Malaysia, kain ihram yang dikumpul akan menjalani proses kitar tinggi (upcycle) bagi menghasilkan produk baharu yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

Jemaah haji dan umrah yang ingin menyumbang kain ihram terpakai boleh berbuat demikian di pejabat cawangan TH terpilih di seluruh negara bermula Oktober 2026.
Pada masa sama, beliau berkata program tersebut berpotensi diperluaskan pada masa hadapan melibatkan pengumpulan barangan lain seperti tuala, beg dan pakaian bagi mengurangkan pembaziran serta memanfaatkan semula bahan terpakai.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa peka terhadap situasi semasa termasuk perkembangan geopolitik di Asia Barat serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh TH sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Malaysia bersama TH sentiasa memantau keadaan semasa dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji sentiasa terpelihara.
Seramai 31,600 bakal haji Malaysia kini sedang mengikuti fasa akhir persiapan menerusi Kursus Perdana Haji yang berlangsung di masjid-masjid terpilih di seluruh negara sehingga 12 April ini.
“Melalui kursus ini, bakal haji dipersiapkan dari aspek mental, fizikal dan kefahaman ibadah menerusi latihan praktikal seperti tawaf, sa’i dan melontar jamrah dalam suasana hampir sebenar di Tanah Suci,” katanya.

Penerbangan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula 18 April hingga 20 Mei, manakala penerbangan pulang pula akan berlangsung dari 4 hingga 30 Jun melibatkan kira-kira 100 penerbangan sewa khas.
Sumber : Bernama
Kreadit Foto : fb YB Senator Dr. Zulkifli Hasan




