KUALA LUMPUR, 2 April (IKIM) – Pemerkasaan komuniti sebagai penjaga alam sekitar terus menjadi tonggak penting dalam memperkukuh daya tahan iklim negara serta memastikan kelestarian ekosistem.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tn Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pendekatan berasaskan komuniti kini semakin signifikan dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang kian kompleks.
Menurut beliau, Malaysia berdepan tekanan alam sekitar termasuk kejadian banjir lebih kerap dan kemarau berpanjangan yang memberi kesan kepada keselamatan makanan, kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan GEF Small Grants Programme (SGP) Malaysia 2026 di ibu negara, yang menghimpunkan komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta serta rakan strategik.
Tambahnya, SGP berperanan sebagai platform penting dalam memperkasa tindakan alam sekitar di peringkat akar umbi, termasuk melalui perkongsian amalan terbaik dalam pemuliharaan biodiversiti dan daya tahan iklim.
Dalam masa sama, kadar pembiayaan projek di bawah program itu telah ditingkatkan kepada sehingga USD75,000, sekali gus memperkukuh keupayaan komuniti melaksanakan inisiatif berimpak tinggi.

Sejak diperkenalkan di Malaysia selama 26 tahun, lebih 250 projek komuniti telah disokong dengan jumlah dana hampir USD8.5 juta.
Kerajaan turut menegaskan komitmen terhadap agenda perubahan iklim melalui pelaksanaan NDC 3.0, dengan sasaran pengurangan pelepasan karbon dan mencapai sifar bersih menjelang 2050.




