SHAH ALAM, 31 Mac (IKIM) – Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkukuh peranan wanita sebagai pemacu pembangunan negeri menerusi penganjuran Majlis Townhall x Raya Wanita Negeri Selangor sempena penutup Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang dianjurkan melalui agensi Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan penggerak wanita di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, penganjuran tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa agenda wanita, kepimpinan komuniti serta pembangunan sosial yang inklusif, selaras dengan aspirasi membina negeri yang berdaya huni dan makmur.
Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada alumni program pemerkasaan wanita, pemimpin komuniti, pembuat dasar serta rakan strategik. Ia turut menjadi ruang dialog dua hala bagi menyelaras hala tuju serta memperkukuh jaringan kepimpinan wanita di peringkat negeri dan komuniti.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menegaskan wanita bukan sekadar penerima manfaat dasar, sebaliknya rakan pembangunan strategik yang memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi keluarga dan pembentuk daya tahan sosial.
Sebagai sebahagian pengisian strategik, dua Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai, masing-masing antara WBS dengan Taylor’s University bagi pelaksanaan Program IbuNiaga, serta antara WBS dengan The Asia Foundation untuk Program Latihan Penjagaan.

Program IbuNiaga memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan wanita B40 melalui latihan dan bimbingan berstruktur, manakala Program Latihan Penjagaan bertujuan meningkatkan kemahiran serta profesionalisme dalam sektor penjagaan yang dilihat sebagai bidang ekonomi berpotensi tinggi.
Kedua-dua kerjasama ini dilihat mampu memperkukuh ekosistem pembangunan wanita secara menyeluruh meliputi aspek kepimpinan, keusahawanan dan kesejahteraan komuniti.
Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk memastikan lebih ramai wanita terlibat dalam bidang kepimpinan, ekonomi dan pembuatan keputusan, selaras dengan aspirasi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur.
Gambar : Media Selangor & Datin Mona Jasman




