METMALAYSIA LANCAR MODEL CMAQ, PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI PENCEMARAN UDARA

BANGI, 31 Mac (IKIM) – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) terus memperkukuh peranannya sebagai benteng hadapan dalam pengurusan bencana negara menerusi pelancaran sistem Model Pemantauan Kualiti Udara – Community Multiscale Air Quality (CMAQ), sempena Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut signifikan apabila Malaysia meraikan ulang tahun ke-68 keahlian dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) bersama 193 negara anggota lain, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam menterjemahkan data saintifik kepada tindakan praktikal di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pembangunan sistem CMAQ merupakan inovasi penting hasil kerjasama strategik antara METMalaysia dan UKM menerusi Institut Perubahan Iklim di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Menurut beliau, sistem itu berupaya menganalisis sumber pencemaran udara dan jerebu dengan lebih pantas serta tepat, selain menyediakan amaran awal yang komprehensif bagi membantu agensi berkaitan mempercepatkan proses membuat keputusan.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam menghadapi realiti perubahan iklim yang semakin mencabar, negara tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah lama, sebaliknya perlu memperkukuh sistem pemantauan berasaskan sains sebagai benteng utama keselamatan negara. 

“Tanpa pemantauan yang tepat, kita ibarat nakhoda kapal yang berlayar di tengah lautan badai tanpa kompas. Pelaburan dalam sistem pemerhatian cuaca dan kualiti udara adalah pelaburan untuk melindungi nyawa, kesihatan awam dan masa depan negara,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif CMAQ juga selari dengan usaha global Early Warning for All (EW4ALL) yang menyasarkan setiap rakyat dilindungi sistem amaran awal menjelang tahun 2027.

“Inisiatif nasional ini penting dalam melindungi kesihatan awam serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pelancaran CMAQ selari dengan tema sambutan tahun ini, “Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok”, yang menekankan kepentingan data dan analisis meteorologi dalam melindungi rakyat daripada risiko perubahan iklim dan bencana alam.

Beliau menegaskan, maklumat saintifik yang tepat, pantas dan boleh dipercayai kini menjadi keperluan utama masyarakat dalam menghadapi fenomena cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

Dalam pada itu, kerjasama erat antara METMalaysia dan UKM melalui Institut Perubahan Iklim telah lama terjalin, termasuk pembangunan model ramalan jerebu dan kualiti udara MyCMAQ sejak 2023 yang berperanan sebagai sistem amaran awal bagi melindungi orang awam serta membantu pihak berkuasa mengurus kualiti udara dengan lebih berkesan.

Model tersebut bukan sahaja dimanfaatkan di Malaysia, malah berpotensi diperluaskan penggunaannya ke peringkat serantau ASEAN, sekali gus membuktikan keupayaan kepakaran tempatan menghasilkan teknologi bertaraf dunia.

WhatsApp
Scroll to Top