KUALA LUMPUR, 25 Feb (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius insiden tular melibatkan seorang individu bukan Muslim yang didakwa menghina Islam dan al-Quran, yang disifatkan sebagai perbuatan yang mengguris perasaan umat Islam, khususnya dalam bulan Ramadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan dan telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata tindakan tegas itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara kesucian agama Islam serta memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.
“Perbuatan menghina agama, khususnya al-Quran sebagai kitab suci umat Islam, adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan perlu ditangani dengan tegas mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak agar terus memelihara keharmonian dan perpaduan yang telah lama terbina dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Katanya, masyarakat perlu bertenang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.
Zulkifli turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pelampau yang cuba menggugat keamanan dan keharmonian negara.
Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan kesucian Islam sentiasa dihormati serta keamanan dan kestabilan negara terus terpelihara.




