IKIMFM SAJI PELBAGAI PENGISIAN ISTIMEWA SEMPENA HARI RADIO SEDUNIA 2026

KUALA LUMPUR, 13 Feb (IKIM) — IKIMfm menyemarakkan sambutan Hari Radio Sedunia 2026 yang diraikan pada 13 Februari setiap tahun dengan pelbagai pengisian istimewa termasuk penyiaran berita dan lagu yang dihasilkan menggunakan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI).

Seiring dengan tema sambutan tahun ini, Kecerdasan Buatan (AI), IKIMfm turut menampilkan Kapsul Khas dan Lagu Khas Hari Radio Sedunia berkonsepkan nasyid kontemporari. Selain itu, Segmen Inspirasi Jumaat mengangkat tajuk Media dan Amanah Kebenaran manakala Segmen Usrah Nurani membincangkan topik Radio dan AI.

Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali berkata, AI merupakan alat yang mampu membantu serta menambah baik mutu kerja dan teknologi, namun ia tidak dapat menggantikan peranan manusia sepenuhnya dalam melaksanakan tugasan.

Beliau menegaskan bahawa manusia seharusnya memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan produktiviti dan mencapai hasil kerja yang lebih efisien.

“Manusia sepatutnya pandai menggunakan teknologi yang ada, kita yang sepatutnya menggunakan AI, bukan kita yang dipergunakan,” katanya.

Sambutan Hari Radio Sedunia kali ini turut diserikan dengan siaran silang menerusi program Inspirasi Pagi IKIMfm yang dikendalikan penyampai TyzoXander dan Al Muhsin bersama Koolfm yang menampilkan Haiza, serta Kembara Inspirasi bersama Zayan yang dikendalikan Suffian Amrin dan Anas Tahir.

Inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada pendengar mengenali barisan penyampai IKIMfm selain memperkukuh jalinan kerjasama antara stesen radio terlibat.

IKIMfm boleh didengar menerusi frekuensi FM 91.5 di Lembah Klang, selain penstriman audio secara langsung melalui laman sesawang www.ikimfm.my serta aplikasi IKIMfm, Audio+ dan MYTV Mana-Mana.

WhatsApp
Scroll to Top