PUTRAJAYA, 11 Feb (IKIM) — Kerajaan sedang mengkaji cadangan pelaksanaan sistem diyat sebagai instrumen pampasan berasaskan Syariah bagi mangsa kemalangan jalan raya, sebagai pelengkap kepada mekanisme sedia ada seperti tuntutan sivil serta insurans dan takaful.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu bertujuan menyediakan mekanisme pampasan yang lebih pantas, adil dan berperikemanusiaan, khususnya kepada mangsa serta keluarga yang berdepan proses penyelesaian panjang dan kos tinggi.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat (RTD) mengenai cadangan pelaksanaan sistem diyat pada Rabu di Putrajaya bagi meneliti kebolehlaksanaan serta implikasi Syariah dan perundangan cadangan tersebut.
“Diyat bukan sekadar pampasan kewangan, tetapi turut mengandungi elemen moral dan sosial yang menegakkan tanggungjawab serta memelihara kesejahteraan mangsa dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
RTD itu menghimpunkan pakar Syariah, perundangan, institusi kehakiman serta pelbagai pihak berkepentingan untuk menilai kesesuaian diyat sebagai mekanisme alternatif atau pelengkap kepada sistem pampasan sedia ada, selain meneliti isu bidang kuasa, tadbir urus dan cabaran pelaksanaan.
Zulkifli menegaskan, kerajaan komited meneliti secara menyeluruh setiap cadangan sebelum sebarang dasar baharu dipertimbangkan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan keadilan substantif, ihsan dan kesejahteraan rakyat.
Hasil dan resolusi RTD itu akan dijadikan panduan kepada kerajaan dalam merangka hala tuju dasar berkaitan pampasan kemalangan jalan raya pada masa hadapan.




