MUSLIM PRO PERKENAL RAMADAN RE:CHARGE, GALAK KONSISTENSI IBADAH

KUALA LUMPUR, 11 Feb (IKIM) – Muslim Pro, memperkenalkan inisiatif khas Ramadan dikenali sebagai “Ramadan Re:Charge” bagi menyokong umat Islam mengekalkan momentum ibadah sepanjang bulan mulia itu.

Pengarah Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro, Nafees Khundker berkata pendekatan kempen itu bersifat realistik dan berempati, dengan menyediakan alat, kandungan serta komuniti yang membantu umat Islam kekal istiqamah tanpa tekanan.

Beliau berkata walaupun niat untuk beribadah biasanya tinggi pada permulaan Ramadan, cabaran kehidupan seharian sering menyebabkan momentum tersebut sukar dikekalkan.

Antara fokus utama inisiatif ini ialah pengalaman Al-Quran dalam aplikasi Muslim Pro yang dilengkapi ciri seperti sasaran khatam peribadi, penanda ayat, bacaan audio dan alat refleksi bagi membantu pengguna berinteraksi dengan Al-Quran mengikut kemampuan masing-masing di samping platform Qalbox yang menampilkan kandungan reflektif Ramadan.

Muslim Pro kini merekodkan lebih 180 juta muat turun global dan lebih satu juta pengguna aktif di Malaysia.

Oleh: Norhayati Paradi

WhatsApp
Scroll to Top