KUALA LUMPUR, 9 Feb (IKIM) – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyertai program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy berkata, sebanyak RM117 juta diperuntukkan untuk melaksanakan lapan program merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman PMKS.
“Penskalaan PMKS merupakan agenda utama kerajaan dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing. Sasaran kerajaan adalah meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada 5 peratus menjelang 2030, sekali gus menyumbang kepada peningkatan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan sempena Hari Terbuka@Hab PMKS yang berlangsung pada 29 Januari lalu di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur.
RMK13 (2026–2030) menggariskan agenda penskalaan PMKS dengan matlamat menaik taraf saiz perniagaan daripada mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana.
Hari Terbuka@Hab PMKS merupakan antara inisiatif utama bagi mengukuhkan peranan SME Corp. Malaysia sebagai pusat rujukan maklumat dan khidmat nasihat perniagaan. Sejak dilaksanakan pada Januari 2024, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak swasta.
Antara yang hadir ialah Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok; Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng; Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharon serta wakil pelbagai persatuan dan dewan perniagaan.
Untuk maklumat lanjut, PMKS boleh melayari www.smecorp.gov.my, saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat serta 12 Pejabat Negeri di seluruh negara.




