KUANTAN, 25 Jan (IKIM) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa perbuatan rasuah bukan kesalahan kecil, sebaliknya satu bentuk pengkhianatan serius terhadap negara yang mampu membawa kepada kehancuran sesebuah bangsa.
Baginda bertitah, maruah bangsa tidak diukur melalui kemegahan pembangunan fizikal atau kekayaan material, sebaliknya melalui nilai dan prinsip yang dipertahankan ketika berdepan godaan kuasa dan wang.
Menurut baginda, banyak negara runtuh bukan kerana ancaman musuh dari luar, tetapi akibat pengkhianatan dalaman yang berpunca daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerakusan yang tidak dibendung.

“Ketahuilah, rasuah bukan kesalahan kecil dan penyalahgunaan kuasa bukan kelemahan manusia biasa, tetapi kejahatan berjawatan. Apabila undang-undang dipermainkan oleh mereka yang sepatutnya menegakkannya, maka negara sedang dipimpin ke jurang kehancuran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan “Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat” di sini malam tadi, yang turut dihadiri paduka anakanda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Anak Bimol, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan terhadap individu yang menyalahgunakan kuasa atas nama institusi dan organisasi, sekali gus mencemarkan imej perkhidmatan awam serta merosakkan masa depan generasi akan datang.

“Mereka bukan sekadar merosakkan imej organisasi, malah mencuri masa depan anak bangsa,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda menyeru golongan belia agar menjauhi rasuah dan salah guna kuasa serta bangkit menjadi generasi yang berani memutuskan rantaian amalan tidak bermoral tersebut.
“Rasuah itu bukan rezeki, tetapi najis. Penyalahgunaan kuasa itu bukan kebijaksanaan, tetapi racun. Kekayaan haram bukan kejayaan, tetapi kutukan yang menunggu waktu,” titah baginda.
Baginda juga mengingatkan belia supaya mendisiplinkan diri, mengawal emosi dan tidak terpengaruh dengan budaya populariti semata-mata, termasuk penilaian berdasarkan jumlah pengikut di media sosial atau gaya hidup yang dipamerkan.
“Kekuatan sebenar terletak pada keupayaan mempertahankan prinsip ketika diuji dan memilih jalan yang benar walaupun sunyi dan sukar,” titah baginda.
Wacana tersebut menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam pembangunan belia dan kenegaraan, sebagai inisiatif memperkukuh literasi kenegaraan serta kefahaman terhadap peranan institusi Raja Berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara.
Foto: Majlis Belia Malaysia




