DUNIA ARAB DAN ISLAM TERAS PEMBEBASAN PALESTIN – GALLOWAY

KUALA LUMPUR, 13 Jan (IKIM) — Krisis kemanusiaan dan genosid yang berterusan di Gaza didakwa bukan sekadar berpunca daripada serangan ketenteraan, sebaliknya diperkukuh oleh perlindungan politik dan kegagalan akauntabiliti di peringkat antarabangsa.

Perkara itu dibangkitkan dalam syarahan umum khas bertajuk Gaza Exposes the Complicity of International Actors Special Lecture by George Galloway yang dianjurkan oleh Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) bersama BDS Malaysia, Palestine Centre for Excellence (PACE) dan Hashim Sani Center for Palestine Studies (HSPS).

Syarahan tersebut disampaikan oleh tokoh politik veteran Britain, George Galloway, yang terkenal dengan pendirian tegas mengkritik dasar luar Barat dan sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Menurut Galloway, kemusnahan di Gaza berlaku dalam satu ekosistem yang melibatkan perlindungan politik, kerjasama perisikan serta halangan perundangan yang melemahkan kebertanggungjawaban antarabangsa terhadap Israel.

Beliau turut mendakwa wujud pengaruh kuat Israel terhadap tokoh-tokoh politik utama Amerika Syarikat, yang menurutnya menjelaskan kegagalan kuasa besar bertindak tegas terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Selagi masyarakat terus memilih pemimpin yang terlibat dengan kompromi politik dan kepentingan kewangan, keadaan ini akan berterusan,” kata beliau. 

Dalam ucapannya, Galloway menegaskan bahawa pembebasan Palestin tidak akan datang daripada Barat, sebaliknya mesti digerakkan oleh rakyat Palestin sendiri dengan sokongan padu dunia Arab dan umat Islam.

Beliau turut menggesa negara-negara Islam, termasuk Malaysia, memainkan peranan lebih besar dalam membina tekanan solidariti global yang konsisten dan berani.

Mengambil iktibar daripada kejatuhan sistem aparteid di Afrika Selatan, Galloway berkata perjuangan rakyat Palestin perlu disokong oleh satu gerakan solidariti antarabangsa yang menolak segala bentuk normalisasi terhadap penindasan.

“Rakyat Palestin adalah teras perjuangan, manakala masyarakat dunia mesti menjadi landasan yang kukuh. Tanpa kedua-duanya, keadilan tidak akan tercapai,” tambah beliau. 

Wartawan lokasi : Batrisyia Afrina Yusri Sham

Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof 

WhatsApp
Scroll to Top