IKIM PERKUKUH PERANAN SEBAGAI PENERAJU PEMIKIRAN ISLAM INKLUSIF MENJELANG 2026

KUALA LUMPUR, 1 Jan (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pemikiran Islam yang berwibawa, inklusif dan berimpak tinggi di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, seiring aspirasi Malaysia MADANI menjelang tahun baharu 2026.

Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman berkata, tahun 2025 yang melabuhkan tirainya menyaksikan pelbagai cabaran dan kejayaan yang memperkukuh peranan IKIM sebagai institusi ilmu yang menyebarluaskan kefahaman Islam secara menyeluruh, seimbang dan berteraskan pendekatan wasatiyyah.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu IKIM telah melaksanakan beberapa program berskala besar yang memberi impak signifikan kepada masyarakat dan institusi.

“Antara program utama ialah Persidangan Serantau Pengurusan Harta Keluarga Islam 2025, Seminar Fiqh Ta’ayush dalam Gagasan Malaysia MADANI,” kata beliau dalam ucapan tahun baharu 2026 yang disiarkan di Facebook IKIM. 

Beliau menegaskan, pelaksanaan program berkenaan membuktikan IKIM berperanan sebagai pemangkin ilmu, penggerak perubahan sosial dan pengukuh nilai dalam masyarakat, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IKIM atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam menjayakan misi institusi.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, sepanjang tahun 2025, IKIM telah berjaya menganjurkan lebih 30 program akademik berimpak tinggi merangkumi persidangan, seminar, bengkel, simposium, muzakarah pakar dan dialog ilmiah, yang sebahagian besarnya bertemakan Gagasan Malaysia MADANI.

Antara pencapaian penting ialah penganjuran Majlis Cendekiawan Malaysia–Indonesia (MALINDO MADANI) yang julung kali diadakan, menghimpunkan lebih 60 ilmuwan dan cendekiawan terkemuka dari Malaysia dan Indonesia bagi memperkukuh pertukaran idea serta dialog strategik di peringkat serantau.

“Penganjuran ini membuktikan IKIM bukan sahaja sebuah institusi intelektual, malah menjadi platform perpaduan ilmiah antara negara,” kata beliau. 

IKIM turut mengangkat peranan Malaysia di peringkat ASEAN dan global menerusi penganjuran Simposium ‘Anchoring ASEAN’s Future in Shared Wisdom: Empowering Communities for an Inclusive and Sustainable Civilisation sekali gus menzahirkan kepimpinan intelektual negara dalam membina masyarakat yang inklusif dan lestari.

Dalam aspek pembangunan belia dan pelajar, beliau berkata penganjuran Pertandingan Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) MADANI 2025 menerima 117 penyertaan daripada 25 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, dengan 25.6 peratus daripadanya melibatkan pelajar bukan Islam.

Dalam bidang penerbitan, IKIM turut mencatat pencapaian membanggakan apabila buku terbitannya “Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam” memenangi Anugerah Buku Ilmiah Terbaik Kategori Sains dan Teknologi pada Anugerah Penerbitan Ilmiah Malaysia–Kementerian Pendidikan Tinggi (MAPIM-KPT) kali ke-16 serta Anugerah Buku Negara Kategori Pendidikan dan Akademik : Buku Perubatan Terbaik, manakala buku “Wahai Anak Muda”, terjemahan karya Ayyuha al-Walad, memenangi Anugerah Buku Negara bagi kategori Bahasa dan Penterjemahan Buku Terbaik.

Dalam bidang penyiaran pula, Radio IKIMfm terus mengukir kejayaan apabila meraih pelbagai pengiktirafan, antaranya Anugerah Asia Pacific Broadcasting+ Awards 2025 bagi kategori Radio Podcast Malaysia menerusi Podcast Sit & Seek, serta Anugerah Islamic Content Creation Award sempena World Halal Excellence Awards 2024.

Tahun 2025 juga menyaksikan IKIM menggalas tanggungjawab sebagai penyelaras utama tiga agenda besar agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), termasuk Pavilion Al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, penerbitan buku “Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI”, serta penyelarasan Majlis Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025.

Menjelang tahun 2026, kedua-dua pimpinan IKIM menyeru seluruh warga institusi agar memperkukuh iltizam, integriti dan semangat kerjasama, berteraskan prinsip jujur, rajin dan amanah.

“Tahun baharu ini adalah medan untuk memperbaharui niat dan tekad agar IKIM terus relevan, dinamik serta menjadi peneraju pemikiran Islam yang berwibawa, inklusif dan berimpak tinggi, bukan sahaja di peringkat nasional, malah di persada ASEAN dan dunia,” tambah beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top