IKIM SERU KEFAHAMAN MENYELURUH ISU DEKORASI PERAYAAN DI PREMIS HALAL

KUALA LUMPUR, 21 Dis (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) tampil memberi pencerahan berhubung isu penggunaan dekorasi berkaitan perayaan bukan Islam di premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), susulan kekeliruan dan perbincangan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, penilaian status halal sesuatu makanan dan premis adalah berasaskan kriteria utama yang telah ditetapkan, antaranya penggunaan bahan halal, pengendalian yang bersih dan suci serta bebas daripada unsur najis dan pencemaran yang diharamkan oleh syarak.

Beliau berkata, elemen dekorasi yang bersifat umum dan tidak melibatkan unsur keagamaan, ritual atau sembahan tidak termasuk dalam faktor yang menjejaskan status halal sesebuah premis makanan.

“Perkara ini selaras dengan garis panduan SPHM serta penjelasan pihak berkuasa berwibawa, termasuk keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2023 yang menyatakan bahawa tiada larangan ke atas pemegang SPHM untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, selagi ia tidak memaparkan unsur keagamaan, ritual ibadah atau penggunaan logo halal dan SPHM secara tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, pendekatan Fiqh at-Ta‘ayush wajar difahami sebagai usaha menghormati kepelbagaian budaya dan agama tanpa menjejaskan prinsip serta piawaian Islam yang telah ditetapkan.

Pendekatan tersebut, katanya, juga selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keharmonian dan kestabilan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Sehubungan itu, IKIM menyeru semua pihak agar memahami isu berkenaan secara menyeluruh, merujuk kepada autoriti yang sah serta mengelakkan polemik yang boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan perpaduan masyarakat.

WhatsApp
Scroll to Top