ISLAM YANG RAHMAH DAN INKLUSIF JADI ASAS PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA – ZULKIFLI

PUTRAJAYA, 17 Dis (IKIM) –  Pendekatan Islam yang bersifat rahmah, inklusif dan progresif akan menjadi tunjang utama pentadbiran hal ehwal agama negara, selari dengan peranan agama sebagai asas pembentukan masyarakat harmoni serta pembangunan negara yang mampan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata beliau bersama Timbalannya, Senator Marhamah Rosli, menerima nasihat serta tausiyah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar amanah yang dipertanggungjawabkan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab demi kepentingan negara.

Menurut beliau, usaha memperkasa hal ehwal agama bukan sekadar meningkatkan syiar Islam, sebaliknya menzahirkan wajah Islam yang membawa kerahmatan kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Kita ingin memperlihatkan bahawa Islam itu rahmah, membawa kebaikan dan kerahmatan bukan hanya kepada umat Islam, malah kepada semua, selaras dengan konsep lil ‘alamin,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mengulas hala tuju awal pentadbirannya, Zulkifli menegaskan peranan hal ehwal agama amat signifikan dalam membentuk kesejahteraan sosial dan pembangunan negara secara menyeluruh.

Beliau berkata imej Islam yang ingin diketengahkan ialah Islam yang damai, sederhana, berteraskan maqasid syariah serta meraikan kepelbagaian dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

“Apa yang kita bawa ialah Islam yang rahmah, inklusif, bersifat wasatiyyah, menghormati kepelbagaian dan pada masa sama, Islam yang maju,” katanya.

Pendekatan berkenaan, katanya, penting bagi menampilkan Islam sebagai agama yang indah dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata Malaysia berada pada kedudukan kukuh dalam industri halal global dengan rekod pengiktirafan antarabangsa yang membanggakan.

Beliau berkata Malaysia telah mengiktiraf lebih 92 badan halal daripada 47 negara, sekali gus meletakkan negara sebagai peneraju industri halal dunia.

“Walaupun kita berada pada tahap terbaik, usaha berterusan perlu digiatkan bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai juara industri halal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menyentuh soal pelantikan, Zulkifli berkata kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan negara merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Kita melihat amanah ini sebagai satu taklif dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, berlandaskan keikhlasan dan ketulusan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan keharmonian, perpaduan serta kesatuan hati dan minda dalam menjayakan agenda hal ehwal agama negara.

Terdahulu, Zulkifli dan Marhamah mengimbas cap jari sebagai simbolik memulakan tugas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 12.20 tengah hari.

Zulkifli dilantik menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam, manakala Marhamah merupakan antara lantikan baharu bagi portfolio berkenaan.

Turut bersama menyambut ketibaan beliau, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee bersama ketua-ketua agensi serta Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ahmad Fuad Mat Ali.

WhatsApp
Scroll to Top