PUTRAJAYA, 17 Dis (IKIM) – Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, sepanjang menerajui portfolio Hal Ehwal Agama, Pelan Transformasi Al-Falah telah dilaksanakan sebagai kerangka utama pembaharuan institusi agama negara, dengan memberi penekanan kepada penambahbaikan tadbir urus, penyelarasan dasar yang lebih bersepadu serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Mohd Na’im berkata, pelan berkenaan turut memberi impak nyata terhadap pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus, selain memastikan manfaat pelaksanaan dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar menerusi pendekatan berteraskan data dan kebertanggungjawaban.
“Segala pencapaian yang diraih adalah hasil kerja berpasukan serta sokongan berterusan daripada seluruh warga kerja agensi Hal Ehwal Agama yang telah menunjukkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Beliau dalam pada itu, turut mengucapkan tahniah kepada Senator Dr. Zulkifli Hasan atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sambil mendoakan agar kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka dapat diteruskan demi kepentingan agama dan negara.
Sebagai sebahagian daripada Kerajaan MADANI, Mohd Na’im berkata beliau akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri serta agenda MADANI, dan bertekad untuk terus berkhidmat kepada agama, rakyat dan negara dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan.




