PUTRAJAYA, 13 Dis (IKIM) – Ikatan Kumpulan Sokongan Syariah Malaysia (IKSYAM) diharap terus berperanan sebagai model profesionalisme syariah yang berintegriti tinggi, selari dengan usaha memperkukuh nilai ihsan, khidmat sukarelawan serta pendekatan mesra masyarakat dalam penyampaian perkhidmatan syariah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata aspirasi itu bertepatan dengan penganjuran Program Khidmat dan Amal Sosial Syariah (Kasih Syariah) yang membawa tema Sinergi Ukhwah, Mantap Khidmat Syariah berkonsepkan pendekatan turun padang serta pemantapan imej institusi syariah.
Beliau berkata pendekatan tersebut selaras dengan Teras Tadbir Urus Syariah Yang Mampan di bawah Pelan Transformasi Al-Falah, sekali gus memperkukuh peranan institusi syariah sebagai rakan masyarakat yang inklusif dan berkesan.

“Program Kasih Syariah anjuran IKSYAM ini mempunyai signifikan yang besar dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan institusi syariah serta menjadi platform strategik untuk memperkukuh hala tuju pentadbiran kehakiman syariah agar sentiasa selari dengan aspirasi nasional Kerajaan MADANI,” kata beliau.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain, pada majlis berkenaan.
Mohd Na’im turut menegaskan keperluan warga IKSYAM mengekalkan budaya kerja berteraskan integriti, keprihatinan dan layanan berhemah bagi memastikan institusi syariah terus diyakini serta dekat di hati masyarakat.

“Kami mahu institusi syariah dinilai bukan hanya berdasarkan keadilan yang ditegakkan di mahkamah, tetapi juga melalui penghayatan nilai ihsan dan perkhidmatan sosial yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara agensi syariah, institusi masjid dan komuniti, bukan sekadar dilaksanakan secara bermusim, kerana sinergi tersebut mampu mengukuhkan perpaduan masyarakat serta menyemarakkan semangat Malaysia MADANI.
Sehubungan itu, Mohd Na’im berharap Program Kasih Syariah dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi memantapkan imej institusi syariah sebagai rakan masyarakat yang mudah didekati serta peka terhadap keperluan setempat.
“Melihat kepada komitmen penganjur, sambutan komuniti, penglibatan sukarelawan dan manfaat sosial yang terhasil, program Kasih Syariah berjaya mencapai matlamatnya dalam menzahirkan nilai ihsan, penyayang dan khidmat yang menjadi inti pati syariah,” ujar beliau.




